KUALA LUMPUR 7 April - Pharmaniaga Bhd mencadangkan penggabungan saham melibatkan nisbah lima kepada satu sebagai langkah memperkukuh struktur modal selepas berjaya keluar daripada status syarikat bermasalah kewangan (PN17).
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat farmaseutikal itu berkata setiap lima saham sedia ada akan digabungkan menjadi satu saham baharu, yang secara teorinya akan meningkatkan harga saham daripada 24.5 sen kepada RM1.225 berdasarkan harga penutup pada 31 Mac lalu.
Susulan pelaksanaan cadangan tersebut, jumlah saham terbitan dijangka berkurang daripada 6.56 bilion unit kepada sekitar 1.31 bilion hingga 1.32 bilion saham, bergantung kepada senario pelaksanaan, dengan modal saham masing-masing dianggarkan antara RM243.43 juta hingga RM267.47 juta.
Langkah itu dibuat selepas Pharmaniaga berjaya menamatkan pelan penstrukturan semula, termasuk pengurangan modal sebanyak RM520 juta serta pelaksanaan pengumpulan dana melalui terbitan hak dan penempatan persendirian, sekali gus membolehkannya keluar daripada status PN17 pada pertengahan Mac lalu.
Cadangan penggabungan saham tersebut tertakluk kepada kelulusan Bursa Securities serta persetujuan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa akan datang, dengan pelaksanaan disasarkan menjelang suku kedua 2026.
Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama bagi pelaksanaan tersebut.
Dari segi prestasi kewangan, Pharmaniaga kekal mencatat keuntungan untuk dua tahun berturut-turut dengan keuntungan bersih RM48.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Bagaimanapun, jumlah itu merosot 63% berbanding RM131.8 juta pada tahun sebelumnya yang dipacu oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM124.9 juta hasil pengecualian penalti kelewatan penghantaran semasa pandemik.
Pendapatan kumpulan meningkat 8.1% kepada RM3.93 bilion berbanding RM3.76 bilion sebelumnya, disokong permintaan kukuh dalam segmen konsesi serta penambahan produk baharu dalam senarai pembelian diluluskan.
Saham Pharmaniaga yang meningkat lebih 116% dalam tempoh setahun lalu didagangkan pada 26 sen setakat tengah hari Selasa, menjadikan syarikat itu bernilai kira-kira RM1.67 bilion.
Pada masa sama, saham tersebut diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 35.1 kali, lebih tinggi berbanding pesaing terdekatnya, Duopharma Biotech Bhd yang dinilai pada 13.9 kali. - DagangNews.com








