KUALA LUMPUR 17 Nov - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama dengan Japan Organisation for Metals and Energy Security (Jogmec) bagi melaksanakan projek penerokaan darat di wilayah Mukah-Balingian di tengah Sarawak.
Di bawah perjanjian kajian bersama yang dimeterai minggu lalu, kedua-dua pihak berharap dapat memperoleh pengetahuan lebih mendalam mengenai sumber bawah permukaan Sarawak serta menyokong pembangunan minyak dan gas darat yang bertanggungjawab dan mampan, kata Petros.
Ditubuhkan pada Februari lalu, Jogmec menggabungkan fungsi bekas Japan National Oil Corp dan Metal Mining Agency of Japan, dengan tumpuan terhadap minyak, gas asli, logam dan sumber mineral.
Menurut Petros, kawasan luas berkeluasan kira-kira 124,000km persegi di Sarawak masih kurang diterokai, sekali gus memberi peluang kepada syarikat itu untuk melaksanakan program pengkayaan data sepanjang tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Program pengkayaan data untuk Sarawak dimulakan dengan pemprosesan semula semua tinjauan geofizik berskala sejak April lalu, bermula dengan Blok SK433 di kawasan Miri-Marudi, meliputi utara Marudi dan termasuk penemuan Adong Kecil West.
Pada 2021, Petros menganugerahkan kontrak penerokaan dan pembangunan petroleum pertama kepada Petra Energy Bhd bagi Blok SK433.
Satu pencapaian penting direkodkan pada Oktober 2023 apabila aktiviti penggerudian bermula, seterusnya bergerak ke fasa pembangunan dan sasaran pengeluaran pertama menjelang tahun ini.
Petros menegaskan kerjasama dengan Jogmec akan membangunkan keupayaan tempatan dan memperkasa bakat anak Sarawak untuk menerajui inovasi serta penerokaan yang bertanggungjawab.
Pada masa sama, Petros turut memeterai dua lagi perjanjian.
Satu daripadanya adalah dengan SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd dan Superconducting Sensor Technology Corp (Sustec) bagi penerokaan, manakala satu lagi dengan Woodside Energy, syarikat petroleum dari Australia, bagi projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Petros bersama SC Tubular dan Sustec akan memulakan kajian bukti konsep menggunakan teknologi maju Sustec untuk mengesan minyak dan gas di medan Adong Kecil West berhampiran Miri.
“Inisiatif ini merupakan penggunaan pertama teknologi seumpamanya di Sarawak, mencerminkan komitmen Petros untuk menerapkan inovasi dan teknologi yang dapat meningkatkan ketepatan penerokaan, mengurangkan ketidakpastian dan membuka lebih banyak potensi sumber Sarawak,” kata Petros.
Petros berkata perjanjian CCUS dengan Woodside Energy yang diwujudkan di bawah Sarawak Bid Round 2024 merangkumi Tapak 3A di Central Luconia, di perairan Sarawak.
Kerjasama ini akan membolehkan Woodside Energy menilai daya maju teknikal dan komersial penyimpanan karbon secara selamat di bawah dasar laut. Usaha ini menyokong visi Petros untuk memposisikan Sarawak sebagai hab serantau CCUS dan memacu peralihan industri rendah karbon.
Pengerusi Petros, Tan Sri Hamid Bugo berkata dua perjanjian tenaga strategik dan perjanjian kajian penyimpanan bersama pemain industri antarabangsa itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Petros dalam menerajui masa depan tenaga Sarawak.
“Melalui kerjasama ini, kami memperkukuh jalinan dan menerima pakai inovasi untuk membuka peluang baharu dalam penerokaan serta pembangunan tenaga rendah karbon,” katanya. - DagangNews.com








