KUALA LUMPUR 10 Okt – Sarawak mempunyai kuasa sah untuk mengurus dan mengawal pengagihan gas dalam sempadannya dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ditubuhkan untuk melaksanakan kuasa itu, kata Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, penubuhan Petros bukan untuk bersaing dengan PETRONAS, sebaliknya bagi memperkukuh kerjasama strategik demi manfaat rakyat dan negara.
Katanya, kedudukan Sarawak dalam isu melibatkan PETRONAS dan Petros adalah berlandaskan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) yang digubal secara sah oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Menurutnya, bidang kuasa Sarawak tertumpu kepada aktiviti downstream atau pengagihan gas yang ditadbir sepenuhnya melalui DGO 2016 tanpa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini selaras dengan The Borneo States Legislative Powers Order 1963 dan syor dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang memperuntukkan kuasa pengagihan gas dan tenaga elektrik kepada Sarawak serta Sabah.
“Pengecualian diberikan melalui Pemberitahuan Pengecualian (Pindaan) 2021 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu.
“Langkah ini membolehkan Sarawak mempunyai kawalan penuh dari segi perundangan dan pentadbiran terhadap aktiviti pengagihan gas serta mengelak keperluan lesen berganda di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan DGO 2016,” katanya dalam satu kenyataan di Parlimen.
Terdahulu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta penjelasan kerajaan yang telus dan terperinci mengenai butiran perjanjian yang dimeterai antara Sarawak dan kerajaan Pusat berkaitan kedudukan PETRONAS dan Petros.
Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila undang-undang persekutuan mengenai pengagihan gas tidak lagi terpakai di Sarawak, DGO 2016 menjadi satu-satunya undang-undang yang mengawal selia bekalan dan pengedaran gas di negeri itu.

Beliau berkata, ordinan tersebut sah dan mempunyai presumption of constitutionality, malah tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana mahkamah di Malaysia.
“Isu PETRONAS–Petros bukanlah pertarungan adik-beradik, sebaliknya berkaitan pelaksanaan kuasa di bawah undang-undang yang sah.
“PETRONAS beroperasi di bawah PDA 1974 manakala Petros ditubuhkan di bawah DGO 2016 dalam bidang kuasa perlembagaan negeri,” katanya.
Tambahnya, Sarawak tidak berniat menjejaskan kedudukan PETRONAS, sebaliknya mahu memperkukuh kerjasama strategik bagi membangunkan industri minyak dan gas secara mampan, telus serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Beliau juga menegaskan komitmen Sarawak untuk terus mempertahankan hak-hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan semangat federalisme dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan.
“Isu ini seharusnya dilihat sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara PETRONAS dan Petros.
“Dengan cara ini, kita bukan sahaja melindungi kepentingan Sarawak dan rakyatnya, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar tenaga yang stabil dan berdaya saing,” katanya. - DagangNews.com








