Petronas tunggu butiran mengenai kerjasama Petros, kata Tengku Muhammad Taufik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas tunggu butiran mengenai kerjasama Petros, kata Tengku Muhammad Taufik

KUALA LUMPUR 25 Feb (Bernama) - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata pihaknya sedang menunggu butiran perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak mengenai skop kerjasama antara firma minyak nasional itu dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

 

Presiden dan CEO kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata butiran itu akan menjadi asas kepada semua pengaturan kerja antara Petronas dan Petros untuk bergerak ke hadapan.

 

“Kami menunggu butiran yang akan dipersetujui secara prinsip, baik oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak, sebelum kami boleh meneruskan dengan merealisasikan semua pengaturan kerja.

 

"Ini perlu dilakukan dengan teliti,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 (FY2024) di sini pada Selasa.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas laksanakan `rightsizing' bukan disebabkan perjanjian dengan kerajaan Sarawak

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan pusat akan bertemu kerajaan negeri Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas. - DagangNews.com