PUTRAJAYA 25 Sept - Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) tidak melanggar perjanjian bekalan gas dengan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengarahkan PETRONAS meneruskan bekalan gas melalui perintah injunksi.
Hakim Datuk Wong Kian Kheong dalam penghakiman beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi gagal meneliti Seksyen 53 Akta Bantuan Khas 1950 yang mengkehendaki Shell MDS membuktikan PETRONAS telah melanggar perjanjian berkenaan.
“Dalam kes ini, perjanjian antara PETRONAS dan Shell MDS tidak pernah dilanggar. Sebaliknya, PETRONAS telah mematuhi syarat perjanjian pada setiap masa yang relevan,” katanya.
Beliau menegaskan, injunksi mandatori hanya boleh diberikan jika Shell MDS membuktikan wujud kes yang “amat kukuh dan jelas” terhadap PETRONAS, namun ambang bukti tersebut tidak dipenuhi.
Mahkamah turut mendapati injunksi yang mengarahkan PETRONAS terus membekalkan gas tanpa bayaran telah menindas secara kewangan syarikat tersebut.
“Petronas telah dan terus kehilangan pembayaran besar, kira-kira RM80 juta sebulan sejak injunksi mandatori ad interim Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024,” jelasnya.
Pada 22 Sept, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azimah Omar bersama Datuk Ismail Brahim dan Datuk Wong, membenarkan rayuan PETRONAS untuk mengetepikan injunksi interim yang diperoleh Shell MDS.
Panel sama turut membatalkan satu lagi injunksi Mahkamah Tinggi yang mewajibkan PETRONAS meneruskan bekalan gas kepada Shell MDS dan membenarkan syarikat itu menahan jaminan bank sepanjang tempoh berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkan Shell MDS melunaskan tunggakan pembayaran kepada Petronas dari Ogos 2024 hingga 5 Okt 2025, dengan tarikh akhir bayaran pada 6 Okt.
Shell MDS sebelum ini menahan bayaran kerana bimbang berdepan invois berganda – satu daripada PETRONAS dan satu lagi daripada Petroleum Sarawak (Petros) – berikutan pertikaian bidang kuasa antara kedua-dua syarikat itu masih belum diselesaikan.
Injunksi Mahkamah Tinggi terdahulu diberikan berdasarkan penglibatan Shell MDS dalam dua perjanjian berasingan, iaitu bersama PETRONAS pada 17 Julai 2020 dan dengan Petros pada 16 Ogos 2024. – Bernama








