KUALA LUMPUR 6 Nov – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengukuhkan kehadirannya di benua Amerika Selatan apabila anak syarikatnya, PETRONAS Suriname E&P BV berjaya memperoleh dua kontrak perkongsian pengeluaran baharu bagi dua blok di kawasan luar pesisir cetek Suriname.
PETRONAS Suriname menandatangani perjanjian berkenaan bersama Staatsolie Maatschappij Suriname NV, Paradise Oil Company NV (POC), serta rakan konsortium Chevron Suriname Exploration Ltd dan QatarEnergy International E&P LLC.
Menurut kenyataan PETRONAS, kontrak bagi Blok 9 dan Blok 10 itu dianugerahkan sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Suriname Post Shallow Offshore 2 2024–2025, susulan kejayaan bidaan oleh konsortium terbabit.
PETRONAS menyifatkan perjanjian tersebut sebagai pencapaian penting dalam usaha berterusan kumpulan itu mengembangkan operasi di Lembangan Suriname–Guyana, sebuah kawasan yang diiktiraf secara global kerana potensi hidrokarbonnya yang tinggi.
“Blok 9 dan 10 meliputi kawasan berkeluasan kira-kira 5,456 kilometer persegi dan terletak secara strategik antara kawasan penemuan minyak di perairan dalam serta medan pengeluaran di daratan,” kata PETRONAS.
Di bawah PSC yang ditandatangani, PETRONAS memegang 30% kepentingan penyertaan dan bertindak sebagai pengendali bagi Blok 9, manakala Chevron dan QatarEnergy masing-masing memegang 20%, serta POC sebanyak 30%.
Bagi Blok 10, PETRONAS turut memiliki 30% kepentingan, dengan Chevron bertindak sebagai pengendali (30%), QatarEnergy (30%), dan POC (10%).
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Paramaribo, Suriname, dengan PETRONAS diwakili oleh Pengerusi PETRONAS Suriname, Danny Tan Chern Han.
Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS, Faisal Bakar, berkata langkah ini mencerminkan komitmen PETRONAS untuk terus memperkukuh kehadiran di Suriname dan meningkatkan aktiviti penerokaan baharu di rantau tersebut.
“Pengembangan ke dalam Blok 9 dan 10 menunjukkan keyakinan kami terhadap potensi luar pesisir Suriname serta komitmen untuk mencipta nilai mampan bagi negara dan rakyatnya,” katanya.
Beliau menambah PETRONAS kini sedang bersiap sedia untuk aktiviti penerokaan susulan, berasaskan kejayaan terdahulu serta aspirasi kumpulan untuk terus berkembang di negara berkenaan.
PSCs tersebut turut merangkumi peruntukan bagi penyertaan tenaga kerja tempatan dan pelaburan sosial, sejajar dengan komitmen PETRONAS terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab serta matlamat nasional Suriname.
Dengan penambahan Blok 9 dan 10, bersama penandatanganan Blok 66 pada Jun 2025, PETRONAS kini memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname.
Langkah ini sekali lagi mengukuhkan jejak global PETRONAS dalam aktiviti penerokaan luar pesisir serta memperkukuh kedudukannya sebagai pemain tenaga antarabangsa berwibawa. - DagangNews.com








