PETRONAS mula pindahkan sementara kakitangan di Abu Dhabi dan Dubai bagi jamin operasi berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS mula pindahkan sementara kakitangan di Abu Dhabi dan Dubai bagi jamin operasi berterusan

KUALA LUMPUR 6 Mac - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) telah mengaktifkan protokol kesinambungan perniagaannya untuk operasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan prestasi operasi dan kewangan di seluruh rantau tersebut kekal terjamin.

 

Dalam maklum balas melalui e-mel kepada Bernama, syarikat minyak nasional itu berkata sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, kumpulan berkenaan telah memulakan pemindahan sementara kakitangan dari operasinya di Abu Dhabi dan Dubai sebagai langkah berjaga-jaga.

 

“Semua operasi di UAE terus diuruskan melalui pengaturan alternatif. Operasi di luar UAE di seluruh rantau ini diteruskan seperti biasa,” katanya.

 

Pada hari Rabu, QatarEnergy mengisytiharkan force majeure terhadap bekalan gas asli cecair (LNG) susulan penggantungan pengeluaran di beberapa kemudahan eksport utama.

 

Force majeure dalam industri minyak dan gas ialah peruntukan kontrak yang membebaskan pihak-pihak daripada melaksanakan kewajipan, seperti bekalan atau penerokaan, disebabkan kejadian yang tidak dapat dijangka dan di luar kawalan, termasuk bencana alam, peperangan, pandemik atau tindakan kerajaan yang menjadikan pelaksanaan kewajipan mustahil.

 

Ia memerlukan klausa khusus dalam kontrak, pemberitahuan tepat pada masanya serta pematuhan yang ketat, dan tidak terpakai kepada kesukaran ekonomi semata-mata atau kemerosotan pasaran.

 

Pada Februari lalu, anak syarikat PETRONAS, PETRONAS LNG Ltd (PLL), menandatangani perjanjian jual beli LNG (SPA) selama 20 tahun dengan QatarEnergy, yang merupakan perjanjian bekalan LNG jangka panjang pertama antara kedua-dua syarikat tersebut.

 

Di bawah SPA itu, PLL akan mengambil sehingga dua juta tan setahun (MTPA) LNG daripada QatarEnergy sepanjang tempoh 20 tahun.

 

PETRONAS berkata pihaknya akan terus menilai sebarang potensi kesan material terhadap operasi dan kewangannya serta akan berkomunikasi secara proaktif selaras dengan kewajipan yang telah ditetapkan.

 

“PETRONAS komited untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengendali yang bertanggungjawab dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kakitangan, aset dan operasi di seluruh rantau ini,” katanya. - BERNAMA