KUALA LUMPUR 15 Mei - Petronas menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu dengan syarikat minyak nasional Turkmenistan, Turkmennebit dan dua pihak lain.
PSC, yang turut melibatkan firma Turkmenistan, Hazarnebit dan XRG yang berpangkalan di Abu Dhabi, adalah untuk medan gas dan kondensat Blok I di negara Asia tengah itu.
Sebagai sebahagian daripada kontrak itu, perjanjian jualan gas (GSA) jangka panjang turut ditandatangani dengan syarikat gas nasional Turkmengas.
Petronas akan memegang 57 peratus kepentingan penyertaan sebagai pengendali, bekerjasama dengan XRG (38 peratus) manakala Hazarnebit memegang baki lima peratus.
Terletak di Laut Caspian, konsesi Blok I pada masa ini menghasilkan kira-kira 400 juta kaki padu gas asli setiap hari.
Petronas berkata konsesi itu menawarkan potensi jangka panjang yang ketara, dengan akses kepada lebih 7.0 trilion kaki padu sumber gas asli dan peluang masa depan untuk pengembangan kapasiti pengeluaran.
Kerjasama itu menyokong usaha Turkmenistan untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga dan kepelbagaian eksport sambil menyampaikan pertumbuhan mampan dan nilai ekonomi kepada semua pihak, di tengah-tengah peningkatan permintaan serantau dan global untuk gas asli.

Naib Presiden Eksekutif dan CEO Huluan Petronas, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata perjanjian itu mengukuhkan komitmen syarikat terhadap sektor tenaga Turkmenistan.
"Kami bertuah untuk menyumbang kepada kemajuan berterusan industri tenaga negara dan terus komited untuk memupuk perkongsian jangka panjang dengan XRG, Hazarnebit, Turkmennebit dan Turkmengas," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden XRG bagi gas antarabangsa Mohamed Al Aryani berkata perjanjian itu mengukuhkan kehadiran syarikat di rantau Caspian, mengembangkan pangkalan sumber dan mencerminkan cita-cita untuk menjadi pembekal tenaga bersih yang boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan dunia yang semakin berkembang.
Petronas telah berada di Turkmenistan sejak 1996 dan kini merupakan pengendali bagi Blok 1 dan loji rawatan gas serta terminal gas darat di Kiyanly. - DagangNews.com








