KUALA LUMPUR 6 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menegaskan akan mengekalkan kehadirannya di Brazil dengan mengambil kira kepentingan negara Amerika Selatan itu dalam strategi transformasi global kumpulan tersebut.
Dalam satu kenyataan, syarikat minyak dan gas nasional itu bagaimanapun menjelaskan, segmen pelaburan di Brazil itu tidak terkecuali daripada semakan yang dilakukan secara berkala bagi memperkukuh daya tahan dan membina nilai jangka panjang syarikat tersebut.
Jelas kenyataan itu lagi, Brazil merupakan pasaran utama yang telah membolehkan PETRONAS membina kedudukan bersepadu merangkumi keseluruhan rantaian nilai tenaga — daripada pengeluaran huluan dan logistik, sehingga kepada bidang peruncitan hiliran, termasuk segmen minyak pelincir.
“Sebagai maklum balas kepada laporan media baru-baru ini, PETRONAS ingin menjelaskan bahawa kami secara berkala menyemak pelaburan kami untuk memperkukuh daya tahan dan menjana nilai jangka panjang, termasuk di Brazil.
“Semakan ini bertujuan memastikan pelaburan kami kekal sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang dan memastikan portfolio kami teguh serta mampan,” kata PETRONAS.

Media sebelum ini melaporkan bahawa PETRONAS dikatakan sedang bekerjasama dengan Bank of America untuk menjual 50% kepentingan dalam medan minyak laut dalam Tartaruga Verde di Lembangan Campos, Brazil.
Medan minyak laut dalam itu dioperasikan oleh Petrobras, syarikat tenaga milik kerajaan Brazil, yang memegang baki 50% pegangan.

PETRONAS menjelaskan bahawa dalam operasi huluannya di Brazil, syarikat itu terlibat dalam tiga medan pengeluaran aktif dan memegang kepentingan dalam empat blok eksplorasi laut dalam.
“Selain operasi huluan, kami juga mengendalikan fasiliti pengeluaran dan penyimpanan terapung (FPSO) melalui MISC Bhd, manakala AET menyokong pengeluaran luar pesisir menerusi armada 13 kapal pengangkut khusus berteknologi dinamik (DP shuttle tankers),” katanya.
Dalam segmen hiliran pula, PETRONAS telah memperluaskan kehadirannya ke pasaran runcit di Brazil dengan 30 stesen minyak berjenama PETRONAS beroperasi di seluruh negara itu sekali gus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa dalam segmen bahan api dan pelincir.
“Sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi kami, PETRONAS kekal berdisiplin dalam memastikan setiap pertumbuhan antarabangsa memberikan nilai kepada syarikat,” menurut kenyataan itu lagi.
PETRONAS menegaskan bahawa ia akan terus menilai peluang strategik di seluruh dunia sambil mengekalkan komitmennya terhadap penciptaan nilai jangka panjang yang mampan, selaras dengan pelan hala tuju perniagaan masa depan kumpulan tersebut. - DagangNews.com








