KUALA LUMPUR 23 Julai - PETRONAS Gas Berhad (PGB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, PG LinkaranFibre Sdn. Bhd., memperoleh lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pencapaian regulatori ini merupakan langkah penting dalam pertumbuhan strategik PGB, kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
"Ia membolehkan pembangunan infrastruktur backhaul gentian optik yang selamat dan boleh diskala untuk menyokong keperluan operasi dalaman serta meneroka peluang dalam perniagaan baharu.
"Infrastruktur gentian LINKARAN akan menjadi pemacu utama dalam memperkasa ekosistem digital Malaysia yang sedang berkembang pesat,'' kata PETRONAS Gas.

Menurutnya, projek ini dijangka menarik pelaburan jangka panjang dengan menyediakan sambungan strategik bagi memenuhi permintaan digital yang pelbagai — termasuk kedekatan dengan pusat data, integrasi bersama penyedia telekomunikasi, serta peluang sambungan rentas sempadan.
Pembangunan infrastruktur gentian ini akan dilaksanakan di sepanjang aset tanah sedia ada sebagai sebahagian daripada inisiatif pengoptimuman aset PGB.
Aktiviti pembinaan telah dimulakan pada Julai 2025, dan perkhidmatan awal dijangka tersedia menjelang suku pertama 2027. - DagangNews.com







