KUALA LUMPUR 4 Julai – Sabah bakal menerima lebih banyak manfaat hasil beberapa perjanjian dengan PETRONAS melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) yang dimeterai sempena Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) 2025.
Naib Presiden Kanan PETRONAS MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, perjanjian baharu itu mencerminkan komitmen bersama pihaknya untuk memajukan landskap tenaga Sabah secara mampan, kolaboratif dan berasaskan nilai jangka panjang.
Katanya, kerjasama yang dibina adalah berasaskan kepercayaan dan visi dua hala untuk membuka potensi sumber tenaga negeri secara bertanggungjawab dan lestari.
"PETRONAS MPM dan kerajaan negeri akan terus mempercepatkan pembangunan mampan, memperkukuh keselamatan tenaga dan mencipta nilai jangka panjang untuk Sabah dan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pencapaian utama di SOGCE 2025 ialah penyerahan rasmi dokumen Sabah Gas Strategy, hasil usaha bersama PETRONAS MPM dan kerajaan negeri.
Di bawah bimbingan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC) Sabah pula, strategi itu digubal oleh Pasukan Petugas Bersama (JTF) yang terdiri daripada PETRONAS, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE).
Dengan berpegang kepada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada 2021, strategi itu merangka pelan jangka panjang dan tersusun untuk menjamin bekalan gas yang mampan bagi memenuhi permintaan domestik yang kian meningkat serta menyokong pertumbuhan industri negeri secara mapan.
Tambahnya, turut dimeterai dalam persidangan itu ialah Perjanjian Penilaian Teknikal (TEA) untuk Lembangan Layang-Layang di luar pesisir Sabah iaitu kawasan sempadan yang meliputi kira-kira 44,500 kilometer persegi.
"Perjanjian itu ditandatangani bersama ConocoPhillips Malaysia New Ventures Ltd (COP) dan Pertamina Hulu Energi yang membuka laluan kepada kajian geologi menyeluruh dan analisis potensi penerokaan baharu.
"PETRONAS turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dialog Resources Sdn Bhd untuk mempercepatkan pembangunan Kluster Mutiara di pantai timur Sabah.
"Kluster itu telah dianugerahkan kepada Dialog di bawah 'Malaysia Bid Round 2025' pada Jun lalu dengan perancangan pembangunan kos efektif yang memanfaatkan semula bahan dan peralatan sedia ada, seterusnya mempercepat penghantaran gas pertama," katanya.
PETRONAS menegaskan akan kekal komited memastikan bekalan tenaga negara yang mampan dan berdaya tahan, sejajar dengan peranannya sebagai pemegang amanah utama sumber petroleum negara dan penyelaras strategik bagi aktiviti huluan di Malaysia. - DagangNews.com








