PETRONAS Chemicals dikhuatiri rugi RM200 juta akibat dolar AS susut 3.5% pada 4QFY25 - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals dikhuatiri rugi RM200 juta akibat dolar AS susut 3.5% pada 4QFY25 - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan – Penyusutan 3.5% nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit pada 4QFY25 dijangka menyebabkan kerugian RM200 juta kepada PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG).


Menurut CGS International, situasi kerugian akibat terjemahan pertukaran asing tersebut sekali gus dikhuatiri meningkatkan risiko keputusan kewangan yang mengecewakan terhadap kumpulan berkenaan.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengulangi saranan 'kurangkan pegangan' ke atas saham syarikat berkenaan namun dengan harga sasaran (TP) yang masih dikekalkan kepada RM2.94 sesaham.


"Unjuran ini berikutan jangkaan bahawa prestasi suku keempat PCG berkemungkinan jauh lebih lemah daripada unjuran kami dan konsensus Bursa Saham London," katanya dalam nota analisis hari ini.

 

 

 

 

 

 


CGSI menjelaskan yang kumpulan itu berisiko mencatat kerugian bersih teras (CNL) yang lebih besar pada 4QFY25, susulan kejatuhan secara berterusan harga bahan polimer dan monoethylene glycol (MEG).


Di samping itu, penurunan harga urea selepas prestasi kukuh pada suku sebelumnya turut menjejaskan prestasi, walaupun keadaan pasaran keseluruhan dinilai terus menekan pendapatan kumpulan tersebut.


Tambahnya, perkembangan lemah dicatatkan PCG pada tiga bulan itu bercanggah dengan jangkaan awal firma tersebut yang mengunjurkan keuntungan bersih teras adalah kecil iaitu RM29 juta bagi 4QFY25.


"Ia susulan penurunan kerugian pada suku-suku sebelumnya, namun arah aliran terkini menunjukkan keputusan 4QFY25 berpotensi lebih buruk daripada kerugian RM287 juta pada 3QFY25," kata CGSI.


Bagi FY26, firma itu berpandangan prospek PCG kekal mencabar berikutan kelebihan bekalan global yang terus menekan harga produk petrokimia utama, meskipun kos bahan mentah nafta pula menurun.


Penyusutan lanjut dolar AS kepada RM3.95 setakat ini dijangka menambah tekanan kepada pendapatan, manakala risiko operasi meningkat berikutan penyelenggaraan berjadual loji di Kerteh, Terengganu.

 

 

 

 

 


Usaha itu jelas CGSI, dijangka mengambil masa hingga 50 hari, manakala kadar penggunaan loji kraker nafta di Pengerang, Johor dilaporkan hanya kira-kira 70%, jauh di bawah tahap optimum iaitu 90%.


"Kami menegaskan yang penutupan loji berskala besar di peringkat global mampu meningkatkan kadar penggunaan industri dan antara risiko positif kepada unjuran semasa," katanya. - DagangNews.com