KUALA LUMPUR 27 Feb - Kumpulan PETRONAS mengesahkan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan bagi tahun ini, selaras jumlah diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, Lembaga Pengarah telah meluluskan jumlah tersebut setelah mempertimbangkan pelbagai aspek untuk diteliti.
"Kami mengambil kira keperluan pertumbuhan, pelaburan semula, pembayaran balik pinjaman serta penyediaan sandaran tunai bagi menghadapi sebarang kejutan pasaran," katanya pada sidang akhbar.
Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang merosot 18% berbanding RM55.1 bilion pada FY24.
Pendapatan turut susut kira-kira 17% kepada sebanyak RM266.1 bilion, berbanding RM320.0 bilion pada FY24, akibat harga jualan purata yang rendah, serta impak pertukaran mata wang asing.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad menjelaskan, bagi perbelanjaan modal (capex), beliau memberi panduan bahawa PETRONAS menyasarkan purata antara RM45 bilion hingga RM50 bilion setahun.
"Jumlah ini akan dibelanjakan bagi tempoh lima tahun akan datang, bergantung kepada keperluan fasa pelaksanaan projek-projek yang berkaitan, serta tidak menjejaskan pendapatan kumpulan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai proses 'right-sizing' atau penyusunan semula organisasi, beliau menjangkakan pengurangan 10% daripada tenaga kerjanya, iaitu sekitar 5,000 kakitangan tahun ini.
Tengku Muhammad menyifatkan proses yang dirujuk media sebagai 'pembuangan' itu adalah menyakitkan namun perlu demi memastikan organisasi kekal tangkas dan kompetitif dalam persekitaran mencabar.
Proses ini dilaksanakan secara berperingkat dengan gelombang besar seterusnya dijadualkan pada Mac dan Julai, sebelum selesai sepenuhnya menjelang 2027 dengan reka bentuk organisasi yang baharu.
Menyentuh penglibatan negeri pengeluar petroleum, PETRONAS jelas beliau, mengesahkan kejayaan penyertaan kepentingan dalam lapangan di Sabah dilaksanakan atas terma komersial sepenuhnya.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) untuk meningkatkan penyertaan vendor tempatan dan entiti milik negeri dalam aktiviti minyak dan gas," katanya.
PETRONAS juga tambah Tengku Muhammad, bersikap terbuka untuk berbincang mengenai pembabitan lebih besar Sabah dalam pelbagai aktiviti huluan selagi usaha itu memenuhi terma komersial dan saksama.
Beliau sekali lagi menegaskan kumpulan itu terus mengekalkan disiplin modal ketat selain memberi tumpuan kepada agenda peralihan tenaga menjelang 2050 melalui pelbagai pelaburan. - DagangNews.com








