KUALA LUMPUR 1 Dis – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) menghentikan sementara operasi di Loji Penapisan Port Dickson (PDR) selepas jeti luar pesisir kemudahan itu rosak dan sebahagiannya runtuh dibadai Ribut Tropika Senyar pada 28 November 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat mengesahkan kesemua lapan kakitangan yang berada di jeti berkenaan telah dipindahkan dengan selamat dan tiada tumpahan minyak berlaku susulan insiden tersebut.
PMRMB memaklumkan, jeti yang terjejas merupakan kemudahan penting bagi aktiviti pemunggahan dan pemindahan minyak mentah serta produk ditapis antara loji penapisan dan kapal tangki.
Dengan struktur jeti kini terjejas, PDR tidak dapat menerima atau memproses bekalan minyak mentah buat sementara waktu.
Bagaimanapun, syarikat menegaskan bekalan bahan api ke rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara tidak akan terganggu, selepas mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan yang merangkumi import tambahan produk petroleum siap serta pengalihan bekalan melalui saluran alternatif.
Menurut PMRMB, syarikat sememangnya mendapatkan bekalan produk daripada kedua-dua sumber iaitu loji penapisan sendiri dan import langsung sebagai sebahagian daripada operasi biasa.
Pada masa sama, PMRMB berkata pihaknya sedang menilai alternatif segera bagi mengekalkan operasi penapisan, di samping kos pembaikan jeti yang rosak serta kesan kewangan keseluruhan akibat insiden tersebut.
Dagangan saham Petron di Bursa Malaysia telah digantung sementara menunggu pengumuman rasmi berhubung kejadian itu.
Ribut Tropika Senyar dilaporkan menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung, dengan runtuhan jeti di Port Dickson antara kesan industri paling ketara setakat ini. - DagangNews.com








