PeterLabs capai perjanjian penyelesaian, pemegang saham utama beli semula 60% kepentingan dalam anak syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PeterLabs capai perjanjian penyelesaian, pemegang saham utama beli semula 60% kepentingan dalam anak syarikat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt – PeterLabs Holdings Bhd memaklumkan bekas pengarah eksekutifnya, Datuk Loh Saw Foong, dan isterinya Datin Lin Ching Yein telah bersetuju untuk membeli semula 60% pegangan PeterLabs dalam Thye On Tong Trading Sdn Bhd (TOTT).

 

Loh juga bersetuju untuk menjelaskan hutang antara syarikat yang tertunggak sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian dengan kumpulan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PeterLabs berkata, Loh dan Lin akan membeli semula pegangan tersebut pada harga tidak melebihi harga ketika ia dijual kepada PeterLabs pada 2022. 

 

Pasangan itu menjual TOTT kepada PeterLabs pada nilai RM10.8 juta melalui urus niaga tunai dan saham.

 

“Selain itu, Loh turut bersetuju untuk mengambil tanggungjawab peribadi bagi pembayaran semula pinjaman antara syarikat berjumlah RM12.9 juta yang tertunggak oleh TOTT kepada PeterLabs Sdn Bhd (PSB), anak syarikat milik penuh PeterLabs,” katanya.

 

PeterLabs turut menyatakan bahawa Loh dan Lin akan membayar RM552,741 sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian tersebut.

 

Sebagai balasan, semua pihak bersetuju bahawa perjanjian itu adalah penyelesaian penuh dan muktamad terhadap semua tuntutan dan potensi pertikaian melainkan perkara yang dikecualikan secara jelas.

 

Perjanjian itu turut melibatkan peletakan jawatan Loh sebagai pengarah eksekutif PeterLabs serta peletakan jawatan pengarah eksekutif Yap Siaw Peng sebagai pengarah TOTT.

 

“Semua pihak akan menarik balik tuntutan masing-masing dalam prosiding undang-undang tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa kos,” kata PeterLabs.

 

Perjanjian penyelesaian tersebut ditandatangani pada Selasa antara PeterLabs, PSB, TOTT, Loh dan Lin, menandakan penamatan semua isu berkaitan pengurusan, operasi dan urusan ketiga-tiga entiti.

 

Pertikaian itu bermula pada Mei selepas siasatan dalaman ke atas dakwaan salah laku terhadap Loh. 

 

Beliau digantung tugas sementara siasatan dijalankan sebelum penggantungan itu ditarik balik sebulan kemudian.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan serbuan di pejabat PeterLabs dan TOTT selepas laporan dibuat oleh syarikat berkaitan dakwaan melibatkan Loh, yang juga pengurus besar TOTT. - DagangNews.com