KUALA LUMPUR 13 Okt – Meskipun angka rasmi peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi Belanjawan 2026 diumumkan pada RM81 bilion – hanya sedikit meningkat berbanding RM80 bilion pada 2025 – penganalisis industri menjangkakan angka sebenar bakal melebihi jangkaan melalui pelaksanaan projek mega yang dibiayai menerusi mekanisme di luar belanjawan.
Firma CGS International berkata, melihat kepada jumlah keseluruhan DE yang diumumkan, ia tampak lebih rendah berbanding unjuran purata tahunan RM86 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memperuntukkan RM430 bilion bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.
Namun begitu, beberapa indikator penting memberi gambaran bahawa kerajaan mungkin melaksanakan projek mega melalui inisiatif pembiayaan alternatif dan Perkongsian Awam Swasta (PPP) yang dijangka memainkan peranan lebih besar.
"Kami tidak menolak kemungkinan peruntukan DE yang lebih tinggi selepas tahun 2026, namun kami juga menjangkakan kerajaan akan memanfaatkan sektor swasta untuk pembiayaan masa depan, selaras dengan Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030)," kata firma itu dalam nota penyelidikan pasca Belanjawan 2026 hari ini.
CGS International berkata, jangkaan pihaknya Belanjawan 2026 akan berbeza daripada bajet-bajet sebelum ini tidak begitu menjadi kenyataan.
"Kami sebelum ini pada Ogos 2025 berpendapat bahawa Belanjawan 2026 akan menjadi platform untuk Perdana Menteri menetapkan hala tuju bagi pelaksanaan projek infrastruktur utama menjelang pilihan raya umum akan datang (yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada Feb 2028).
"Fokus utama kepada andaian ini adalah kebangkitan semula projek MRT 3. Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai MRT 3, kami percaya masih ada kemungkinan bahawa tender akan dibuka menjelang akhir tahun kalendar 2026 selepas semua proses pengambilan tanah diselesaikan.
"Sebelum ini, projek MRT 1, MRT 2 dan LRT 3 dibiayai melalui mekanisme luar bajet atau syarikat tujuan khas (SPV) dan mungkin tidak termasuk dalam peruntukan ‘utama’ bajet kerajaan," katanya.
CGS International berkata, peruntukan DE bagi tahun 2026 ialah RM81 bilion berbanding RM80 bilion pada tahun 2025. Secara purata berdasarkan peruntukan DE dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) sebanyak RM430 bilion (RM86 bilion setahun), angka ini dilihat lebih rendah daripada jangkaan.
Katanya, tahun 2025 merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), di mana jumlah keseluruhan DE dari tahun 2021 hingga 2024 adalah sebanyak RM316 bilion. Berdasarkan anggaran DE sebanyak RM80 bilion untuk tahun 2025, jumlah keseluruhan DE untuk tempoh lima tahun ini adalah sebanyak RM396 bilion. Ini adalah lebih rendah berbanding anggaran asal DE sebanyak RM415 bilion dalam RMK12.
Katanya, antara projek berskala besar yang diumumkan dan berpotensi menarik minat kontraktor tersenarai adalah: LRT Pulau Pinang, peruntukan RM2.2 bilion untuk projek tebatan banjir, RM2.3 bilion untuk naik taraf lapangan terbang di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, loji rawatan air baharu di Lembah Klang dan Sabah, Fasa 2A Naik Taraf Lebuhraya Senai-Desaru bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Tebatan Banjir Sungai Buloh Fasa 2 serta tender Lebuhraya Trans-Borneo yang dijangka dibuka pada suku pertama 2026.
Bagi sektor air, Pengurusan Aset Air Berhad telah komited untuk melabur sebanyak RM13 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi projek seperti loji rawatan air Langat 2 dan lain-lain.
Tumpuan juga diberikan kepada pengurangan Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water) dengan peruntukan RM3 bilion untuk menaik taraf lebih 820km paip di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Selangor.
Terdapat juga pengumuman bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud) dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
"Ini berpotensi memberi impak positif kepada Gamuda memandangkan syarikat tersebut telah menjalinkan kerjasama dengan DNeX pada Disember 2024 untuk menyediakan perkhidmatan Google Distributed Cloud (GDC) yang berasingan dan selamat untuk sektor awam dan swasta di Malaysia," katanya.
Bagi Belanjawan 2026, peruntukan untuk Sabah dinaikkan daripada RM6.7 bilion pada tahun 2025 kepada RM6.9 bilion, manakala peruntukan untuk Sarawak dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM6 bilion.
"Saham pilihan utama kami adalah Gamuda, IJM, dan MCement. Untuk saham modal kecil, kami kekal positif terhadap WCT, Kitacon dan Econpile. Untuk pendedahan dalam sektor air, kami menggemari Engtex," katanya. - DagangNews.com








