Perubahan laluan kapal global disebabkan krisis Timur Tengah untungkan MISC - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perubahan laluan kapal global disebabkan krisis Timur Tengah untungkan MISC - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Mei - Perubahan laluan perdagangan global susulan ketegangan geopolitik yang berpanjangan dilihat menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan segmen penghantaran minyak mentah MISC Berhad apabila permintaan terhadap perkhidmatan kapal tangki jarak jauh terus meningkat.

 

Penganalisis pasaran berkata, gangguan rantaian bekalan tenaga dan perubahan aliran eksport minyak dunia telah memaksa banyak negara mengubah sumber import mereka, sekali gus meningkatkan keperluan kepada penghantaran minyak mentah merentasi laluan lebih jauh.

 

MBSB Research berkata, situasi itu secara langsung memberi manfaat kepada pengendali kapal tangki berskala besar seperti MISC yang memiliki armada kukuh dan rangkaian operasi global, terutama menerusi segmen Petroleum & Product Shipping (PPS).

 

Menurutnya, permintaan tonne-mile global dijangka kekal tinggi dalam tempoh sederhana hingga panjang memandangkan pasaran tenaga dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik selain perubahan struktur perdagangan minyak mentah antara Asia, Timur Tengah dan Eropah.

 

“Kadar sewaan kapal tangki dijangka kekal melebihi paras 2025, sekali gus mendorong segmen itu menumpukan kepada penguncian pendapatan berulang serta pengembangan portfolio kapal dwi-bahan api.,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam masa sama, prospek sektor penghantaran tenaga dijangka terus positif apabila permintaan global terhadap LNG dan minyak mentah kekal stabil, disokong keperluan keselamatan tenaga oleh ekonomi utama dunia.

 

MBSB Research berkata, susulan prestasi memberangsang 1QFY26, firma itu menaikkan harga sasaran saham MISC kepada RM9.22 daripada RM8.13 selepas mengambil kira semakan penilaian yang lebih tinggi sejajar prospek pendapatan kumpulan yang semakin kukuh.

 

Dalam masa sama, menaik taraf saranan terhadap saham syarikat daripada NEUTRAL kepada BUY memandangkan momentum operasi MISC dijangka terus disokong permintaan stabil dalam segmen penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG).

 

Sementara itu RHB Research berkata, keterlihatan pendapatan MISC kekal kukuh memandangkan hampir keseluruhan armada LNG kumpulan berada di bawah kontrak jangka panjang yang melindungi syarikat daripada ketidaktentuan pasaran spot.

 

Pada masa sama, unit petroleum MISC masih mempunyai kira-kira 35% pendedahan kepada pasaran spot yang membolehkan kumpulan memanfaatkan kenaikan kadar kapal tangki global.

 

“Selain itu, MISC juga berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan projek FPSO global dengan industri dijangka menyaksikan sekitar 12 penganugerahan projek FPSO baharu pada 2026,” katanya.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham MISC dengan harga sasaran (TP) baharu RM9.71 berbanding RM9.77 sebelum ini, menawarkan potensi kenaikan sekitar 18% selain hasil dividen kira-kira 5%. - DagangNews.com