Pertumbuhan pesat e-dagang bantu imbangi tekanan sektor pelabuhan, logistik susulan konflik di Timur Tengah - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pesat e-dagang bantu imbangi tekanan sektor pelabuhan, logistik susulan konflik di Timur Tengah - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 April - Sektor pelabuhan dan logistik Malaysia dijangka kekal stabil sepanjang 2026, disokong oleh pertumbuhan pesat e-dagang yang membantu mengimbangi tekanan kos akibat kenaikan harga bahan api susulan konflik di Timur Tengah.

 

Menurut Kenanga Research, nilai dagangan kasar (GMV) e-dagang tempatan diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5%, mencecah RM1.5 trilion menjelang 2027 berbanding RM1.2 trilion pada 2024.

 

“Perkembangan ini dijangka terus merangsang permintaan terhadap hab pengedaran, gudang dan kemudahan penyimpanan sejuk walaupun sektor berdepan cabaran luaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu turut menjelaskan pemain logistik tempatan masih dilindungi daripada kenaikan harga diesel melalui skim subsidi bersasar kerajaan, manakala pengendali pelabuhan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan penyimpanan kontena.

 

Ini berikutan potensi kesesakan pelabuhan susulan pengurangan trafik di Selat Hormuz, yang boleh meningkatkan tempoh penyimpanan kontena di pelabuhan tempatan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan global kepada 1.9% bagi 2026 pada Mac lalu, berbanding 0.5% yang diunjurkan pada Oktober 2025.

 

Pertumbuhan itu dijangka disokong oleh lonjakan permintaan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan, penyesuaian rantaian bekalan serta pengurangan tindakan balas tarif antara negara.

 

Namun, Kenanga memberi amaran unjuran tersebut masih terdedah kepada risiko penurunan sekiranya konflik geopolitik berterusan dan harga tenaga meningkat.

 

“Dalam senario harga tenaga tinggi, pertumbuhan perdagangan global boleh menyusut kepada 1.4%, sekali gus mengurangkan 0.5 mata peratusan daripada unjuran asas,” katanya.

 

Dari sudut peraturan, firma itu turut menekankan cabaran jangka sederhana daripada pelaksanaan Rangka Kerja Sifar Bersih Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah, yang berpotensi mengubah aliran perdagangan serta komposisi kargo bagi laluan Asia-Eropah.

 

Selain itu, Malaysia dijangka meraih manfaat daripada pengalihan perdagangan susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China, dengan eksport ke AS meningkat 42.3% tahun ke tahun pada Februari 2026, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor pelabuhan dan logistik, memandangkan prospek pertumbuhan yang lebih baik diimbangi oleh risiko geopolitik serta tekanan peraturan yang berterusan. - DagangNews.com