Pertumbuhan IPI Malaysia 2025 dijangka menyederhana ke paras 2% dipengaruhi tarif AS lebih tinggi - MBSB Investment Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan IPI Malaysia 2025 dijangka menyederhana ke paras 2% dipengaruhi tarif AS lebih tinggi - MBSB Investment Bank

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Sept – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih sederhana sekitar 2% tahun ini berbanding 3.7% pada 2024, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata unjuran tersebut mengambil kira kesan kemungkinan tarif lebih tinggi terhadap perdagangan luar dan pengeluaran produk eksport, walaupun aktiviti “front-loading”, peningkatan semula eksport semula (re-exports) serta permintaan domestik yang kukuh dijangka terus mengekalkan pertumbuhan positif.

 

“Dari segi domestik, perbelanjaan isi rumah yang meningkat dan aktiviti perniagaan tempatan yang rancak dijangka menyokong permintaan terhadap barangan berorientasikan domestik,” katanya, sambil menegaskan pengeluar dan pengeksport tempatan akan terus berwaspada terhadap risiko permintaan yang perlahan dari pasaran utama seperti AS dan China.

 

Bagi Julai 2025, IPI Malaysia meningkat lebih pantas sebanyak 4.2% tahun ke tahun (Jun: +2.9%), sejajar dengan unjuran MBSB Investment Bank sebanyak 4.4% dan melebihi konsensus pasaran pada 1.7%.

 

Peningkatan lebih kukuh itu disokong oleh pertumbuhan mantap dalam output pembuatan dan perlombongan.

 

Jualan barangan pembuatan terus meningkat 3.5% tahun ke tahun pada Julai (Jun: +3.3%), melanjutkan pertumbuhan selama 19 bulan berturut-turut.

 

Nilai jualan pembuatan melonjak kepada RM162.5 bilion, paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan. Antara produk yang merekodkan pertumbuhan lebih tinggi ialah besi & keluli serta komponen elektrik dan elektronik (E&E).

 

MBSB Investment Bank turut menekankan, kelemahan dalam eksport komoditi boleh menjejaskan output produk berasaskan komoditi, manakala prospek bagi produk berorientasikan eksport juga dilihat berhati-hati dengan kemungkinan penyusutan dalam beberapa bulan akan datang.

 

Bagaimanapun, permintaan domestik yang berterusan dijangka terus memacu output produk berasaskan domestik, diperkukuh oleh pertumbuhan perbelanjaan pengguna serta kemajuan projek pelaburan di Malaysia.

 

“Walaupun prestasi Julai memberangsangkan, kami mengekalkan unjuran bahawa pertumbuhan IPI tahun ini akan sederhana,” kata MBSB Investment Bank, sambil menambah sektor perindustrian Malaysia masih disokong oleh aktiviti eksport semula yang stabil serta pengeluaran lebih kukuh sejajar dengan peningkatan perdagangan luar. - DagangNews.com