Pertumbuhan IHH Healthcare berisiko terjejas akibat kerugian tukaran asing, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan IHH Healthcare berisiko terjejas akibat kerugian tukaran asing, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 JanRHB Research memberi amaran yang pertumbuhan dilaporkan IHH Healthcare Berhad berisiko untuk terjejas disebabkan oleh faktor kerugian pertukaran mata wang asing (FX) ketika ini.


Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi itu tidak dapat dielakkan meskipun prestasi operasi asas kumpulan kekal kukuh dan pertumbuhan pendapatan sebenar masih menunjukkan momentum positif.


Ia menjelaskan bahawa pengukuhan ringgit berkemungkinan menyembunyikan pertumbuhan sebenar dari segi mata wang malar yang diunjurkan pada kadar rendah hingga pertengahan sepanjang tahun ini.


"Ini adalah lebih rendah berbanding kira-kira 18% bagi tempoh 9M25, dan susulan situasi itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas IHH Healthcare," tambah RHB Research dalam notanya hari ini.


Bagaimanapun, ia menyemak naik harga sasaran (TP) kepada RM9.52 daripada RM9.14 sebelum ini, berdasarkan kaedah penilaian nilai pecahan (SOP), yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 10%.


Ia berpandangan kumpulan itu kekal sebagai pelindung nilai yang berkesan terhadap risiko penetapan semula dasar penjagaan kesihatan domestik,, disokong asas pendapatan terpelbagai secara geografi.


Menurut RHB Research, kekuatan utama IHH Healthcare terletak pada pelaksanaan operasi berdisiplin, rangkaian hospital serantau yang kukuh serta tumpuan kepada segmen pesakit berpendapatan tinggi.


"Usaha ini termasuk pendedahan besar kepada aktiviti pelancongan perubatan susulan pengambilalihan Island Hospital di Pulau Pinang yang terkenal dalam kalangan ramai pelancong kesihatan," katanya.


Dari segi unjuran, firma itu menaikkan anggaran pendapatan 2025 hingga 2027 masing-masing sebanyak 4%, 2% dan 2.7%, mengambil kira prospek margin, walaupun diimbangi oleh andaian FX berhati-hati.


Bagi 2026 pula jelas RHB Research, pertumbuhan hasil IHH Healthcare dijangka dipacu peningkatan pesakit asing, peralihan ke arah model penjagaan harian dan pusat penjagaan ambulatori (ACC).


Rangkaian hospitalnya di Malaysia kekal sebagai penyumbang utama, manakala India berada di landasan penyatuan margin, dan pemulihan di Singapura bergantung kepada peningkatan kapasiti tertentu.


"Berdasarkan andaian SOP yang dikemas kini, TP itu membayangkan penilaian hasil kasar 16.7 kali bagi 2026, iaitu masih premium berbanding purata sejarah lima tahun sebanyak 12.8 kali," katanya.


RHB Research namun memberi amaran antara risiko utama termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan, inflasi kos operasi, serta ketidaktentuan FX boleh menjejaskan prestasi kewangan. - DagangNews.com