Pertikaian 192 lot tanah UMLand berakhir selepas Jabatan Peguam Negara batalkan perintah rampasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian 192 lot tanah UMLand berakhir selepas Jabatan Peguam Negara batalkan perintah rampasan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pertikaian undang-undang membabitkan United Malayan Land Bhd (UMLand) berhubung rampasan 192 lot tanah di Johor berakhir apabila empat anak syarikatnya menarik balik permohonan semakan kehakiman susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang membatalkan perintah rampasan tersebut.

 

Tindakan itu menamatkan prosiding mahkamah yang dimulakan awal bulan ini selepas tanah berkenaan dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan pelaksanaan perjanjian pemisahan perniagaan (demerger) pada 2021 melibatkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan kumpulan Datuk Ng Eng Tee.

 

Dokumen mahkamah menunjukkan notis penarikan balik itu difailkan oleh firma guaman Law Chambers of Zander Lim pada 30 Julai 2026 yang mewakili empat anak syarikat UMLand. 

 

 

 

 

 

 

Firma guaman itu memaklumkan bahawa tindakan undang-undang terhadap semua responden ditarik balik sepenuhnya tanpa sebarang perintah berhubung kos.

 

Perkembangan itu menyusul selepas Jabatan Peguam Negara pada 22 Julai lalu menarik balik perintah rampasan bertarikh 25 Mei 2026 yang menamatkan prosiding mahkamah berkenaan.

 

Empat Anak Syarikat Jadi Pemohon

Empat syarikat yang memfailkan semakan kehakiman ialah Tentu Teguh Sdn Bhd, Viridea Lakeside Sdn Bhd, Exquisite Mode Sdn Bhd dan UMLand Medini Lakeside Development Sdn Bhd.

 

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai lalu, mereka menamakan Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta Jenayah Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Deputi Komisioner Polis Datuk Fazlisyam Abd Majid, pegawai penyiasat Inspektor Mohd Rozimi Mustapha serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

 

Menurut afidavit wakil perundangan korporat UMLand, Jenni Teh, pertikaian itu berpunca daripada perjanjian pemisahan perniagaan yang dimeterai pada 8 Jun 2021 bagi menyusun semula pegangan saham antara kumpulan Syed Mokhtar dan kumpulan Datuk Ng Eng Tee.

 

Sebelum pelaksanaan perjanjian itu, syarikat milik Syed Mokhtar iaitu Seleksi Juang Sdn Bhd dan Wawasan Perangsang Mewah Sdn Bhd memiliki 78.25% kepentingan dalam UMLand, manakala baki pegangan dimiliki kumpulan Ng. 

 

Perjanjian tersebut menetapkan kedua-dua pihak akan memiliki pegangan sama rata sebanyak 50%.

 

Bagi melengkapkan penyusunan semula itu, kumpulan Ng perlu memastikan 618 lot tanah di Bandar Seri Alam dipindahkan kepada Wawasan Perangsang Mewah tanpa sebarang bebanan manakala Syed Mokhtar akan membatalkan pegangan saham UMLand melalui kedua-dua syarikatnya bagi membolehkan kumpulan Ng mengambil alih kawalan UMLand.

 

192 Lot Tanah Bukan Sebahagian Daripada Perjanjian

Bagaimanapun, Jenni menjelaskan 192 lot tanah yang dirampas bukan sebahagian daripada 618 lot tanah yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut dan tidak terletak di Bandar Seri Alam. 

 

Daripada jumlah itu, 32 lot berada di Mukim Plentong, empat lot di Pulai, manakala 156 lot lagi terletak di bandar Johor Bahru.

 

Beliau berkata, pertikaian mula timbul selepas seorang pengarah Wawasan Perangsang Mewah membuat laporan polis pada 20 November 2025 yang mendakwa kumpulan Ng gagal memenuhi obligasi di bawah perjanjian itu. 

 

Namun ketika laporan dibuat, sebanyak 617 daripada 618 lot tanah telah dipindahkan, dengan hanya satu lot, PTD 111515, masih belum disempurnakan.

 

Susulan laporan itu, pihak berkuasa membekukan akaun bank kumpulan Ng pada Februari 2026 bersama beberapa aset lain termasuk lot PTD 111515. 

 

Pada masa sama, 192 lot tanah milik empat anak syarikat UMLand turut dikenakan perintah pembekuan bermula 27 Februari 2026.

 

 

 

 

 

 

 

Perintah pembekuan terhadap akaun bank ditarik balik pada 21 Mei 2026, namun pembekuan ke atas aset tanah dikekalkan sebelum Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan perintah rampasan pada 25 Mei.

 

Bagaimanapun, selepas Jabatan Peguam Negara membatalkan perintah rampasan itu pada 22 Julai lalu, empat anak syarikat UMLand memutuskan untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman mereka yang menamatkan pertikaian undang-undang tersebut. - DagangNews.com