Pertanian jadi pemacu baharu ekonomi Terengganu, sumbangan KDNK naik ke 7.5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertanian jadi pemacu baharu ekonomi Terengganu, sumbangan KDNK naik ke 7.5%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Okt – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi sektor pertanian Terengganu mencatat peningkatan ketara daripada -2.5% pada 2018 kepada 6% pada 2019 dan terus berkembang sehingga menyumbang 7.5% kepada KDNK negeri pada 2023, menjadikannya sektor dengan pertumbuhan tertinggi di negeri itu.

 

Sasaran jangka panjang sektor tersebut ialah untuk menyumbang 12% kepada KDNK negeri dengan trend peningkatan tahunan menunjukkan Terengganu berada di landasan yang tepat ketika ini.

 

Usaha kerajaan negeri sejak 2018 untuk memartabatkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama ekonomi negeri membuahkan hasil apabila pelbagai inisiatif strategik berjaya dilaksanakan.

 

 

 

 

 

 

Program berfokus telah digerakkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran, memulihkan tanah terbiar serta memperkukuh pendapatan rakyat luar bandar, menjadikan pertania muncul sebagai pemacu ekonomi utama negeri.

 

Antara projek yang telah disiapkan termasuk Hub Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan Kampung Tempinis Besut yang merupakan projek pertama seumpamanya di Malaysia, makmal kualiti madu Pantai Timur bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta pewartaan pusat pembenihan kerapu hibrid di Pantai Air Tawar sebagai Zon Industri Akuakultur.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, KDNK sektor pertanian Terengganu 2023 juga menunjukkan peningkatan terbesar berbanding sektor lain sebanyak 7.4% dengan nilai ditambah RM2.9b. 

 

“Memartabatkan pertanian dari satu sektor yang tak dipandang sebelah mata kepada sektor yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan KDNK Negeri  Terengganu bukanlah kerja yang boleh dituai hasil dalam masa sehari dua.

 

“Peningkatan yang dicapai adalah hasil kerja berterusan dan pelaksanaan projek yang memberi kesan langsung kepada petani, penternak dan nelayan di seluruh Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

 

Sebanyak 47 projek dan program pertanian telah dilaksanakan sejak Mei 2018 hingga kini, meliputi pelbagai inisiatif pembangunan tanah pertanian, pemulihan kawasan sawah terbiar, penubuhan hab pemprosesan makanan, pembangunan infrastruktur pengairan dan perikanan, serta bantuan modal kepada petani, penternak dan nelayan.

 

Inisiatif berterusan ini mencerminkan usaha menyeluruh kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pertanian, menaik taraf kemudahan asas dan memulihkan projek terbengkalai agar kembali produktif, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor tersebut kepada KDNK negeri.

 

Selain itu, beliau berkata, bagi tahun 2025, kerajaan negeri sedang melaksanakan 15 projek baharu yang bersifat strategik dan berimpak tinggi, melibatkan pembangunan sektor padi, akuakultur, ternakan dan tanaman industri bernilai tinggi. 

 

“Projek-projek ini termasuk pembinaan infrastruktur pengairan, pusat pembenihan ikan marin, pelabuhan perikanan, program tukun tiruan, serta usaha meningkatkan populasi baka lembu dan kambing.

 

 

 

 

 

"Antara yang terbesar ialah Projek KETARA Fasa 2 bernilai RM103 juta bagi pembinaan sistem pengairan dari Empangan Paya Peda ke Sungai Renek di Besut untuk penanaman padi.

 

“Kesemua projek ini  membuktikan komitmen serius berterusan kerajaan negeri bagi memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian dan meningkatkan sumbangan kepada KDNK negeri,” katanya. - DagangNews.com