Pertamina mohon maaf susulan skandal rasuah mega RM53.59 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertamina mohon maaf susulan skandal rasuah mega RM53.59 bilion

Gambar/LinkedIn Pertamina Retail

KUALA LUMPUR 3 Mac - Syarikat minyak negara Indonesia, Pertamina, memohon maaf secara terbuka dan berjanji untuk memperbaiki tadbir urus syarikat selepas lima eksekutifnya ditahan berhubung tuduhan rasuah melibatkan import minyak membabitkan nilai RM53.59 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina, Simon Aloysius Mantiri berkata, syarikat itu akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga untuk meningkatkan ketelusan dan terus mengimport minyak mentah serta produk yang telah diproses bagi memastikan keselamatan tenaga negara terjamin.

 

"Kami berjanji akan memperbaiki kelemahan ini supaya tidak memberi kesan negatif kepada imej syarikat atau belanjawan negara," katanya kepada pemberita di Jakarta hari ini, seperti laporan Business Times.

 

 

Pejabat Peguam Negara minggu lalu menahan lima eksekutif dari tiga unit Pertamina atas dakwaan rasuah berkaitan import minyak antara 2018 dan 2023.

 

Mereka didakwa mengatur skim yang memaksa kilang penapisan mengimport minyak mentah dan produk petroleum dari luar, walaupun undang-undang menetapkan Pertamina mendapatkan bekalan dari kontraktor domestik terlebih dahulu.

 

Siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti import yang dimanipulasi antara 2018 hingga 2023, dengan tiga individu daripada syarikat swasta turut didakwa memperoleh keuntungan haram daripada penghantaran minyak tersebut. - DagangNews.com