KUALA LUMPUR 9 Jun – Keyfield International Berhad mengambil langkah strategik ketika permintaan ke atas kapal sokongan luar pesisir (OSV) terus meningkat susulan kepesatan aktiviti minyak dan gas (O&G).
Menurut TA Securities, kumpulan itu memperkukuh armada menerusi pembelian kapal bekalan, tunda dan pengendalian sauh (AHTS) bernilai RM29.6 juta bagi meraih peluang kontrak dalam masa terdekat.
Justeru, syarikat itu memeterai perjanjian kapal terpakai buatan 2014 yang akan dinamakan semula sebagai Keyfield Joyful, selain merancang naik taraf bernilai RM4 juta bagi meningkatkan keupayaannya.
"Pengambilalihan ini membolehkan Keyfield segera menambah kapasiti operasi ketika armada AHTS sedia ada hampir digunakan sepenuhnya untuk kontrak domestik dan antarabangsa," jelas firma tersebut.
Langkah ini penting kata TA Securities, kerana dua kapal AHTS baharu yang dibina hanya diserahkan pada 2028, manakala aset terpakai itu boleh menyumbang kepada pendapatan seawal separuh kedua 2026.
Kos pembelian dan naik taraf kapal tersebut akan dibiayai sepenuhnya menggunakan baki dana sukuk yang masih belum digunakan, tanpa memberi sebarang kesan ketara kepada kedudukan kewangan syarikat.
Artikel berkaitan: Keyfield beli satu lagi kapal AHTS bernilai RM29.6 juta

Selain itu ujar firma penyelidikan tersebut, pengurusan Keyfield sendiri menjangkakan Keyfield mampu kekal berada dalam kedudukan aliran tunai yang bersih selepas transaksi berkenaan selesai.
"Berdasarkan anggaran kadar penggunaan 68%, kadar sewaan harian RM45,000 dengan margin kasar 45%, Keyfield Joyful berpotensi menjana RM5 juta setahun atau 2% dari unjuran FY26," kata TA Securities.
Walaupun kontrak sewaan rasmi masih belum dimeterai, pihak pengurusan menerima beberapa jemputan tender bagi kapal dalam kategori sama, serta memberikan keterlihatan peluang penempatan asetnya.
Pengambilalihan itu dilakukan pada harga yang munasabah berbanding nilai pasaran kapal AHTS setara dan mampu membantu Keyfield memanfaatkan peluang pasaran sebelum ketibaan kapal baharu pada 2028.
Sehubungan itu, TA Securities turut mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.74 sesaham berdasarkan gandaan 10 kali pendapatan sesaham (EPS) bagi unjuran CY27, termasuk premium ESG kira-kira 3%.
"Malah, selepas diambil kira isu kelemahan harga sahamnya baru-baru ini, kami menaikkan saranan terhadap saham syarikat daripada 'pegang' kepada 'beli'," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Menurutnya, prospek Keyfield terus disokong oleh asas pasaran OSV kukuh, harga minyak yang kekal tinggi, aktiviti luar pesisir dan permintaan berterusan terhadap kapal. - DagangNews.com








