KUALA LUMPUR 1 Julai – Penyedia perkhidmatan digital e-Kerajaan, Pertama Digital Bhd optimis untuk kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) susulan pengambilalihan syarikat teknologi pengawasan D-Ron Singapore Pte Ltd (D-Ron SG) dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd (D-Ron MY).
Ketua Pegawai Eksekutif Pertama Digital, Lim Nasrul Halim berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada jaminan keuntungan sebanyak RM32.4 juta daripada kedua-dua syarikat tersebut bagi tempoh FY25 dan FY26, bersamaan RM16 - RM17 juta setahun dalam bentuk keuntungan bersih.
"Kami yakin untuk kembali mencatat keuntungan. Ini adalah asas yang sihat untuk Pertama Digital dalam tahun-tahun mendatang," katanya dalam satu taklimat media berkenaan mengenai pelan pemulihan dan pengambilalihan D-Ron, hari ini.
Syarikat itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sinotop Holdings Bhd telah mencatat kerugian berturut-turut dari FY21 hingga FY24, termasuk kerugian bersih sebanyak RM13.67 juta (FY21), RM39 juta (FY22), RM6.6 juta (FY23) dan RM512,000 (FY24).
Pengambilalihan 80% kepentingan ekuiti dalam D-Ron SG dan D-Ron MY dengan nilai keseluruhan RM106.12 juta memberi lonjakan baharu kepada asas perniagaan Pertama Digital.
Ini selaras dengan langkah kerajaan memperkukuh kawalan sempadan menerusi pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang diluluskan tahun lalu.
D-Ron SG dan D-Ron MY terlibat dalam penyediaan perkakasan pengawasan dan rangkaian IT di Singapura dan Malaysia.
Ia menawarkan perkhidmatan yang meliputi sistem video pengawasan, kamera keselamatan, sistem pengurusan video, analitik video, kawalan akses dan sokongan rangkaian IT.
Pengambilalihan tersebut dibiayai melalui pembiayaan dalaman dan/atau pendahuluan daripada pemegang saham.
Sehingga 31 Mac 2025, syarikat memiliki tunai keseluruhan sebanyak RM194.9 juta, termasuk RM166.59 juta dalam dana amanah Islam, RM258,000 dalam deposit tetap dan RM28.06 juta dalam akaun bank.
Pertama Digital dijangka menyerahkan pelan pemulihannya kepada Bursa Malaysia menjelang 31 Oktober 2025, susulan pelanjutan yang telah diluluskan. - DagangNews.com








