Persidangan Beijing Financial Street Forum 2025: Malaysia jadi tuan rumah secara hibrid di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Beijing Financial Street Forum 2025: Malaysia jadi tuan rumah secara hibrid di Kuala Lumpur

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – Sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai sempena Persidangan Beijing Financial Street Forum (FSF), forum dasar kewangan tertinggi China, manakala dua hasil kerjasama lain dilaksanakan di Kuala Lumpur.

 

Acara hibrid yang berlangsung serentak di Beijing dan Kuala Lumpur itu turut disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. 

 

Sebagai tuan rumah forum, Malaysia melakar satu lagi detik penting dalam kerjasama kewangan serantau sempena persidangan itu, yang julung kalinya diadakan di luar Beijing.

 

Forum bertemakan “Integrating Finance, Expertise and Commerce for High-Quality Belt and Road Cooperation” itu adalah satu bentuk kerjasama kewangan baharu China-ASEAN, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama pasaran modal dan pusat hubungan serantau bagi inisiatif Belt and Road (BRI).

 

Forum tersebut dianjurkan oleh Export-Import Bank of China dan China Galaxy Securities di Beijing, serta dikendalikan bersama oleh CGS International Securities Malaysia (CGSI) dan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

 

Di Kuala Lumpur, majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed serta Ketua Pegawai Eksekutif CGSI, Azizah Mohd Yatim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Inn Wei Loon.

 

Antara yang menarik perhatian ialah MOU antara CGS MY dan JLG Investment Holdings, gandingan kerjasama strategik dalam pelaburan dan nasihat pasaran modal di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Selain itu, turut diumumkan laporan Green Energy Initiative Report, hasil usaha bersama CGS International dan Panmure Liberum, yang membincangkan hala tuju peralihan tenaga di ASEAN yang akan dilancarkan secara rasmi pada 4 November ini.

 

Lim Hui Ying berkata, Malaysia komited memperkukuh integrasi ekonomi serantau selepas mengetuai ASEAN dengan cemerlang pada 2025.

 

“Forum hari ini membuktikan komitmen Malaysia dan China untuk mempertingkatkan kerjasama ekonomi, kewangan dan tadbir urus antarabangsa bagi mengukuhkan keyakinan pelabur,” katanya.

 

Sementara itu, Fad’l Mohamed berkata, peranan forum itu sangat penting dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan dan menggalakkan inovasi pasaran modal.

 

“Penyambungan pasaran modal merentasi sempadan mampu membuka aliran pelaburan baharu dan merangsang pertumbuhan ekonomi bersama. 

 

“Bursa Malaysia komited membina pasaran yang berdaya tahan, inklusif dan sentiasa berhubung secara global,” ujarnya.

 

Timbalan CEO CGS MY, Alan Inn Wei Loon pula berkata, forum ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai penghubung strategik antara ASEAN dan China bagi modal, idea serta inovasi.

 

“Melalui rangkaian global CGS International dan China Galaxy Securities, kami bukan sekadar memudahkan transaksi, tetapi mahu memupuk pelaburan lestari dan berkualiti tinggi,” katanya.

 

Forum tersebut turut menampilkan sesi panel yang disertai pemimpin antarabangsa dari pelbagai institusi termasuk Kedutaan Senegal dan Maghribi ke China, Institut Ekonomi Struktur Baharu Universiti Peking, Profesor Adjung Universiti Taylor’s, Dr. Ong Kian Ming yang juga bekas Timbalan Menteri MITI.

 

Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan pasaran modal, tadbir urus kewangan, inovasi digital dan pelaburan mampan yang memerlukan tindakan bersepadu agar inisiatif BRI memberi manfaat inklusif dan berkekalan kepada kerajaan, perniagaan serta komuniti.

 

FSF ditubuhkan pada 2012 sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Beijing Financial Street, pusat institusi kewangan utama China yang menempatkan bank pusat, agensi kawal selia dan institusi kewangan terbesar negara itu.

 

Ia kekal sebagai satu-satunya acara industri kewangan tertinggi China yang dianjurkan bersama oleh Bank Rakyat China, Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China, Pentadbiran Pertukaran Asing Negara, Xinhua News Agency serta Kerajaan Beijing. - DagangNews.com