Persatuan PKS tuntut kerajaan sediakan pakej rangsangan tangani kos naik 50% susulan konflik Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan PKS tuntut kerajaan sediakan pakej rangsangan tangani kos naik 50% susulan konflik Timur Tengah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac – Lonjakan kos bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik di rantau Timur Tengah kini mula menekan aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, situasi semasa menuntut campur tangan segera kerajaan melalui pakej rangsangan yang lebih bersasar.


Penutupan Selat Hormuz jelasnya, memberi kesan langsung kepada PMKS, terutama sektor pembuatan, tekstil dan pembinaan yang bergantung kepada import bahan mentah seperti keluli dan petrokimia.


"Keadaan lebih kritikal apabila harga minyak global melonjak, menyebabkan kos naik mencecah hampir 50% daripada perbelanjaan operasi bagi sesetengah perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ng menambah pada masa sama, kelewatan penghantaran sehingga dua minggu bagi mengelak zon konflik menyebabkan PMKS berdepan tekanan berganda apabila kos meningkat dan pembayaran pula tertangguh.


Keadaan itu disebabkan pembeli serta bank hanya membuat pembayaran selepas barangan diterima, dan beliau menggesa agar pakej rangsangan dipertimbangkan kerajaan menumpukan sokongan modal kerja.


Langkah berkenaan tambah beliau, termasuk penstrukturan semula pinjaman oleh institusi perbankan serta kemudahan tambahan 'Banker’s Acceptance' (BA) sehingga tempoh enam bulan bagi pengeksport.

 

William Ng - Samenta
WILLIAM NG



"Selain itu, Samenta mencadangkan bayaran balik cukai dipercepatkan dan had jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) diperluas bagi akses pembiayaan tanpa cagaran ketat," kata Ng.


Dalam usaha mengurangkan beban pengeksport jelas beliau, pihaknya menggesa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengecualikan caj tertentu seperti Sijil Tempasal Keutamaan.


Mereka turut meminta agar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membenarkan tuntutan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bagi kos pameran perdagangan yang hangus akibat konflik.


Bagi tempoh jangka panjang pula, Ng menekankan keperluan PMKS memperkukuh daya tahan perniagaan melalui penerokaan banyak pasaran baharu seperti rantau Asia Tengah, Afrika dan Amerika Selatan.


"Usaha itu mengurangkan kebergantungan kepada laluan perdagangan berisiko tinggi, dan sokongan juga perlu datang daripada syarikat yang besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," tambahnya.


Insentif kecekapan tenaga seperti geran solar dan automasi juga perlu dipertingkatkan bagi membantu PMKS mengurangkan kos operasi secara mampan, bukan sekadar bergantung kepada subsidi jangka pendek.


PMKS kata Ng, disaran mengambil langkah proaktif mengoptimumkan kos operasi, melaksanakan dasar kerja dari rumah serta berbincang awal dengan institusi kewangan jika berdepan isu aliran tunai.


Samenta turut menggesa syarikat terjejas supaya berhubung dengan persatuan itu bagi menyelaras maklum balas kepada agensi kerajaan dalam menangani kesan krisis semasa. - DagangNews.com