Persatuan Pengiklan Malaysia lantik tiga kepimpinan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Pengiklan Malaysia lantik tiga kepimpinan baharu

Dari kiri, Hassan Alsagoff, Abdul Sani Abdul Murad dan Diana Boo
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt – Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) melantik tiga kepimpinan baharu bagi memperkukuh peranan pengiklan dalam landskap perniagaan tempatan yang semakin berkembang.

 

Ketua Kesetiaan & Pemasaran Serantau di Grab, Hassan Alsagoff dilantik sebagai Naib Presiden untuk penggal 2025-2026. 

 

Selain itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan di RHB, Abdul Sani Abdul Murad dan Ketua Pegawai Pemasaran Boost, Diana Boo turut dilantik sebagai ahli majlis baharu MAA.

 

Pelantikan kepimpinan baharu itu mencerminkan komitmen MAA untuk memperluas perwakilannya dan memastikan suara daripada pelbagai industri didengari dalam setiap keputusan yang dibuat oleh persatuan.

 

Presiden MAA, Claudian Navin Stanislaus berkata, kepimpinan baharu ini membawa perspektif unik dan momentum yang diperlukan untuk memastikan persatuan terus relevan dengan perubahan industri.

 

“Sebagai tindak balas kepada kelesuan acara industri dan pemberhentian berskala besar dalam sektor teknologi, 

 

“MAA kini menumpukan kepada penghasilan kandungan digital yang mudah diakses oleh ahli tanpa menambah beban kerja.

 

“Persatuan juga memberi tumpuan kepada pemain teknologi yang lebih kecil dan institusi pengajian tinggi, bagi memastikan generasi pemasar akan datang bersedia menghadapi cabaran industri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Hassan, yang menyertai Grab sejak 2019 berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya dalam inovasi digital untuk membantu MAA menghubungkan pengiklan dengan penyelesaian teknologi baharu.

 

“Pelantikan ini adalah satu peralihan penting dalam industri, di mana syarikat teknologi kini menyumbang kira-kira RM6.1 bilion kepada perbelanjaan pengiklanan pada 2024. 

 

“Saya komited membantu MAA untuk membina hubungan lebih kukuh antara pengiklan dan platform teknologi serta menyediakan generasi pemasar seterusnya untuk berdepan cabaran akan datang,” katanya.

 

Abdul Sani pula membawa pengalamannya dalam pemasaran dan berharap untuk membawa suara MAA dengan pandangan pelbagai sektor, bagi menjadikan persatuan lebih inklusif dan berkesan.

 

Diana Boo menekankan kepentingan syarikat digital dalam industri pengiklanan yang berkembang pesat.

 

Pelantikannya menyerlahkan peranan fintech dan bank digital tempatan dalam membentuk landskap pemasaran moden.

 

Salah satu inisiatif baharu adalah pertandingan 'TRAILBLAZERS: The Ad-venture Challenge' 2025, yang menekankan pembangunan bakat belia dan kesediaan industri. - DagangNews.com