Persatuan majikan gesa Kementerian Sumber Manusia keluarkan garis panduan jelas pembayaran gaji pekerja asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan majikan gesa Kementerian Sumber Manusia keluarkan garis panduan jelas pembayaran gaji pekerja asing

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov – Kementerian Sumber Manusia diminta mengeluarkan garis panduan jelas dan teratur mengenai tempoh pembayaran gaji pekerja asing, susulan keputusan mahkamah baru-baru ini yang menetapkan majikan perlu membayar gaji sebaik pekerja tiba di Malaysia.

 

Presiden Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial & Perkhidmatan Malaysia (MICSEA), YK Lai berkata, persatuan menyokong pembayaran gaji yang adil dan tepat pada masanya bagi semua pekerja, selaras Seksyen 19 Akta Pekerjaan 1955. 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, majikan menghadapi kesukaran untuk mengurus pekerja tanpa panduan yang jelas tentang kaedah melaksanakan pembayaran gaji yang betul.

 

“Proses pengambilan pekerja asing melibatkan saringan perubatan, latihan, penginapan dan berkaitan pentadbiran sebelum pekerja ditempatkan di lokasi kerja. 

 

“Majikan perlu diberikan prosedur pelaksanaan yang teratur untuk memastikan pematuhan seragam dan mengelak penalti yang tidak disengajakan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh pada 8 Nov 2024 yang mengarahkan supaya majikan membuat bayaran tunggakan gaji kepada 93 pekerja asing yang diabaikan tanpa pekerjaan sebaik tiba di Malaysia.

 

Hakim menegaskan majikan tidak boleh menganggap pekerja asing sebagai "tenaga kerja simpanan" dan menolak hujah majikan bahawa pembayaran gaji hanya tertakluk kepada kerja sebenar yang dilaksanakan.

 

Susulan itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan bahawa hubungan pekerjaan dan kewajipan membayar gaji bermula sebaik pekerja tiba, bukan hanya bergantung apabila tugas diberikan.

 

Dalam pada itu, MICSEA turut menekankan beberapa isu berterusan dalam pengambilan pekerja asing, termasuk kelulusan kuota yang panjang, kos pengambilan dan levi yang tinggi, perubahan peraturan di tengah proses, serta kos penginapan dan kebajikan yang berulang. 

 

Menurutnya, kelewatan dan kos ini memburukkan kekurangan tenaga kerja sedia ada yang telah menjejaskan pengeluaran, eksport dan daya saing perniagaan serta pertumbuhan ekonomi.

 

“MICSEA menafikan dakwaan majikan “menyimpan” pekerja asing secara berlebihan kerana amalan sedemikian sebagai “tidak efisien secara ekonomi dan tidak diterima dari segi etika”.

 

“Persepsi ini sering timbul akibat isu logistik dan masa seperti kelulusan permit secara berkelompok atau kelewatan projek, bukannya majikan sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan.

 

“Kami sangat komited untuk sistem buruh migran yang adil dan lestari, namun berharap proses permohonan akan dipermudahkan, garis panduan pembayaran gaji yang lebih jelas dan penglibatan konsisten antara majikan, kementerian dan wakil industri,” katanya. - DagangNews.com