Persaingan jenama China, tekanan kos dikhuatiri jejaskan jualan automotif pada 2026 – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persaingan jenama China, tekanan kos dikhuatiri jejaskan jualan automotif pada 2026 – PublicInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb – Industri automotif Malaysia dijangka memasuki fasa lebih mencabar pada 2026 apabila jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) diramalkan menurun dipengaruhi tekanan kos sara hidup, kuasa beli pengguna yang semakin lemah serta persaingan sengit daripada jenama China, kata PublicInvest.

 

Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan TIV 2026 sekitar 790,000 unit, susut 3.8% tahun ke tahun berbanding 2025. 

 

Unjuran lebih rendah itu dibuat  selepas prestasi luar jangka pada 2025 apabila TIV mencecah 820,752 unit, meningkat 0.5% berbanding 2024 dan melepasi sasaran asal MAA sebanyak 780,000 unit.

 

PublicInvest berkata prestasi kukuh 2025 sebahagian besarnya didorong oleh lonjakan pembelian kenderaan elektrik bateri (BEV) import sepenuhnya atau CBU menjelang tamatnya pengecualian cukai pada Disember 2025, yang mencetuskan pembelian awal oleh pengguna.

 

Firma penyelidikan itu berkata dari segi struktur pasaran, jenama nasional Proton dan Perodua dijangka kekal berdaya tahan berikutan penawaran kenderaan mampu milik dan cekap bahan api, seiring peralihan pengguna ke arah model lebih jimat susulan penarikan subsidi diesel dan rasionalisasi subsidi RON95.

 

“Sebaliknya, segmen bukan nasional berdepan tekanan ketara akibat keyakinan pengguna yang lemah, ketidaktentuan dasar cukai serta perubahan keutamaan pembeli yang semakin tertarik kepada jenama China berharga kompetitif,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Data MAA menunjukkan jenama China terus meningkatkan penguasaan pasaran pada 2025, dengan Omoda & Jaecoo mencatat pertumbuhan jualan 153% tahun ke tahun, manakala BYD meningkat 68%. 

 

Dalam tempoh kurang sedekad, pengeluar China berubah daripada pemain baharu kepada kuasa besar pasaran tempatan, didorong strategi harga agresif dan ciri teknologi canggih.

 

t

 

PublicInvest berkata kemasukan agresif jenama China mula menjejaskan dominasi pengeluar Jepun.

 

“Hanya Toyota yang mencatat pertumbuhan sederhana 1.5% pada 2025 manakala jenama Jepun lain merekodkan kejatuhan jualan, termasuk Honda (-11.3%), Mitsubishi (-14.4%) dan Mazda (-35.2%).

 

“Dalam masa sama, industri turut berdepan risiko daripada pelaksanaan peraturan cukai eksais baharu yang telah beberapa kali ditangguhkan. Tarikh pelaksanaan terbaharu kini ditetapkan pada 30 Jun 2026, berbanding 1 Januari 2026 sebelum ini,” katanya.

 

Di bawah kaedah baharu, pengiraan Nilai Pasaran Terbuka (Open Market Value, OMV) akan merangkumi kos bukan pembuatan seperti pemasaran, pengiklanan, pentadbiran dan keuntungan, berbanding asas kos kilang sebelum ini. 

 

Perubahan tersebut dianggarkan boleh meningkatkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) antara 10% hingga 30%, sekali gus berpotensi menjejaskan volum jualan dan keputusan pelaburan pengeluar.

 

PublicInvest berkata di sebalik cabaran tersebut, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dijangka memberi sedikit sokongan kepada sektor automotif pada 2026. 

 

“Mata wang yang lebih kukuh membantu mengurangkan kos komponen import, memperbaiki margin dan memberi ruang kepada pengeluar mengekalkan harga jualan walaupun berdepan tekanan inflasi lain,” katanya.

 

Secara keseluruhan, PublicInvest mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor automotif Malaysia. 

 

Walaupun Proton dan Perodua dijangka terus stabil, tekanan persaingan daripada jenama China, potensi kenaikan cukai eksais serta perubahan sentimen pengguna dijangka mengehadkan pertumbuhan keuntungan industri dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com