KUALA LUMPUR 9 Okt – Hartalega Holdings Bhd dijangka mencatatkan peningkatan sederhana dalam jumlah jualan suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), disokong oleh aktiviti penstokan semula dari pasaran Amerika Syarikat (AS) serta peningkatan dalam kecekapan operasi di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Baharu (NGC) di Sepang.
Menurut firma penyelidikan Philip Capital, walaupun kos bahan mentah mencatatkan penurunan, persaingan harga yang berterusan serta lebihan kapasiti global telah mengehadkan manfaat kepada margin keuntungan.
Katanya, Hartalega mengunjurkan jumlah jualan meningkat kepada 6.2 bilion keping dalam 2QFY26 berbanding 5.9 bilion keping pada suku sebelumnya (1QFY26), sejajar dengan peningkatan kadar penggunaan loji kepada 70% daripada 67% sebelumnya, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh dari AS.
Syarikat juga mencatat penurunan 2% dalam bilangan pekerja bagi setiap sejuta keping dan pengurangan 7% dalam kos pembuatan keseluruhan, hasil daripada inisiatif automasi yang sedang giat dijalankan.
Harga bahan mentah utama seperti nitril lateks susut 35% tahun ke tahun kepada US$0.97/kg pada 3QCY25, manakala getah asli turun 20% kepada US$1.38/kg.
Harga gas domestik turut menurun 10% YoY kepada RM39.70/MMbtu, sejajar dengan kelemahan harga minyak mentah global Brent dalam 2QCY25.
"Namun begitu, harga jualan purata (ASP) bagi sarung tangan kekal stabil di pasaran AS pada paras US$20-21 bagi setiap 1,000 keping, manakala di Eropah, ASP berada sekitar US$19-20/1,000 keping.
"Sebaliknya, ASP bagi sarung tangan dari China masih rendah sekitar US$14-15/1,000 keping, mencerminkan tekanan harga global yang berterusan," kata firma itu.
Menurutnya, setakat separuh pertama 2025, Malaysia menguasai 59% pasaran sarung tangan AS, meningkat daripada 44% sebelumnya, sementara China merosot kepada hanya 6% berbanding 32% sebelum ini.
AS kekal sebagai pasaran eksport terbesar Hartalega, menyumbang 56% daripada jumlah eksport keseluruhan syarikat.
Menilai semua faktor di atas, Philip Capital mengekalkan saranan HOLD ke atas saham Hartalega tetapi menurunkan harga sasaran 12 bulan kepada RM1.08, daripada RM1.34 sebelum ini.
Ini berikutan penurunan gandaan price-to-book value (P/BV) kepada 0.8 kali, iaitu satu sisihan piawai di bawah purata tiga tahun syarikat.
Penilaian lebih rendah ini juga mencerminkan cabaran struktur berterusan termasuk lebihan kapasiti global, yang terus menekan jualan dan margin keuntungan, sekaligus mengehadkan kadar pemulihan pendapatan.
Firma itu turut memberi amaran risiko terhadap unjuran termasuklah perubahan dalam jumlah jualan, ASP, harga bahan mentah, kadar tukaran ringgit-dolar, serta strategi harga dari pesaing China yang semakin agresif. - DagangNews.com








