Perodua turunkan harga alat ganti, kos buruh penyelenggaraan sehingga 10% mulai 19 Jun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perodua turunkan harga alat ganti, kos buruh penyelenggaraan sehingga 10% mulai 19 Jun

KUALA LUMPUR 18 Jun - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan pengurangan harga alat ganti penyelenggaraan dan kos buruh sehingga 10% bagi semua model kenderaannya bermula 19 Jun 2026.

 

Langkah itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha syarikat membantu rakyat Malaysia mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya dalam aspek perbelanjaan pemilikan dan penyelenggaraan kenderaan.

 

“Kempen ini merangkumi semua model Perodua termasuk model kenderaan elektrik (EV) QV-E, melibatkan pemeriksaan kenderaan, penggantian alat ganti serta kos buruh berkaitan penyelenggaraan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

 

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan harga itu dibuat berdasarkan harga alat ganti penyelenggaraan serta kos buruh yang dikenakan.

 

Secara keseluruhan, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sekitar 10% daripada purata bil servis mereka.

 

“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk mengunjungi pusat servis sah Perodua bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran ini dan menggunakan alat ganti tulen supaya kenderaan Perodua mereka terus kekal boleh dipercayai serta cekap.

 

“Kami percaya pengurangan kos servis ini dapat membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan Perodua akan terus memainkan peranan dalam memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tahun lalu, sebanyak 3.7 juta kenderaan telah diservis di pusat servis Perodua di seluruh negara.

 

Zainal Abidin berkata, terdapat lebih lima juta kenderaan Perodua yang berada di jalan raya ketika ini dan kempen tersebut akan membolehkan syarikat itu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. - BERNAMA