KUALA LUMPUR 3 Dis – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah memberi penjelasan berhubung terma dan syarat skim Battery as a Service (BaaS) susulan penularan satu dokumen di media sosial yang mencetuskan kekeliruan berkaitan klausa penggunaan “patuh syariah”.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata kekeliruan itu berpunca daripada salah faham terhadap maksud sebenar klausa berkenaan.
“Klausa tersebut adalah hasil daripada salah komunikasi berkaitan niat sebenar, khususnya merujuk kepada penggunaan patuh Syariah. Ia tidak pernah bertujuan untuk mewajibkan pelanggan menggunakan kenderaan secara patuh Syariah,” katanya dalam kenyataan.
Penjelasan itu dibuat selepas petikan dokumen BaaS Perodua tersebar dalam talian, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai kemungkinan wujudnya sekatan penggunaan kenderaan berdasarkan pematuhan Syariah.
Susulan itu, Perodua memaklumkan pihaknya telah mengemas kini helaian pendedahan BaaS dengan menggugurkan klausa yang menetapkan kenderaan dan bateri hanya boleh digunakan bagi tujuan patuh Syariah.
Bagaimanapun, Perodua menegaskan bateri bagi kenderaan elektriknya masih dipajak kepada pelanggan di bawah konsep Operating Ijarah berasaskan syariah.
Isnin lalu, Perodua melancarkan kenderaan elektrik pertamanya, QV-E (Quest for Visionary Electric Vehicle) yang ditawarkan pada harga RM80,000 atas jalan tanpa insurans, namun harga itu tidak termasuk bateri yang dipajak kepada pemilik menerusi skim BaaS. - DagangNews.com








