KUALA LUMPUR 13 April – Sunway REIT dijangka berdepan sedikit tekanan pada tahun kewangan akan datang susulan kelemahan dalam segmen hotel, namun prospek keseluruhan kumpulan kekal stabil disokong oleh prestasi kukuh bahagian runcit serta hasil dividen yang menarik, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Neutral” terhadap Sunway REIT dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM2.39 berbanding RM2.48 sebelum ini, berdasarkan kaedah Dividend Discount Model.
Semakan tersebut dibuat selepas mengambil kira pengurangan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 antara 1% hingga 1.5%, berikutan jangkaan prestasi lebih lemah dalam segmen hotel.
Selain itu, Sunway REIT menjangkakan jumlah pulangan keseluruhan sekitar 8.3% dengan hasil dividen dianggarkan pada 5.7%, menjadikannya masih menarik sebagai kaunter pendapatan stabil.
Menurut MBSB Research, mesyuarat bersama pihak pengurusan menunjukkan segmen runcit Sunway REIT kekal berdaya tahan walaupun wujud ketidaktentuan global, disokong oleh kebergantungan kepada pembeli domestik.
“Trafik pengunjung di pusat beli-belah di bawah Sunway REIT tidak terkesan secara ketara oleh konflik Timur Tengah, malah mencatat peningkatan tahun ke tahun pada Januari dan Februari 2026 disokong musim perayaan.
“Pihak pengurusan mengekalkan panduan pertumbuhan pembaharuan sewa pada kadar pertengahan satu digit positif bagi FY26, sekali gus mengukuhkan prospek stabil segmen runcit.
“Bagaimanapun, segmen hotel dijangka terus berdepan tekanan susulan pembatalan tempahan akibat kenaikan tambang penerbangan serta ketegangan geopolitik, dengan pelancong asing merangkumi sekitar 55% daripada jumlah tetamu pada FY25,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

Dalam masa sama, peningkatan inflasi turut memberi kesan kepada aktiviti MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) yang berpotensi menjejaskan kadar penginapan hotel.
Bagi segmen pejabat, prestasi dijangka kekal mendatar dengan pertumbuhan sewa yang lemah, walaupun kadar penghunian menunjukkan sedikit peningkatan di beberapa aset utama.
Sunway Putra Tower mencatat peningkatan kadar penghunian kepada 85% berbanding 82% pada FY25, manakala Wisma Sunway dijangka mencapai tahap penuh 100% menjelang akhir tahun ini.
Namun begitu, Sunway Tower masih mencatat kadar penghunian rendah sekitar 40%, sekali gus terus menjadi faktor yang menekan prestasi segmen pejabat.
Dari sudut strategi pertumbuhan, Sunway REIT menyasarkan pengambilalihan aset dengan pulangan sekitar 6.5% hingga 7%, dengan fokus kepada aset runcit sebagai teras utama pengembangan portfolio.
Pada masa sama, kumpulan tidak menolak kemungkinan pelupusan aset sekiranya tiada nilai tambah, selain meneroka peluang dalam segmen baharu seperti pusat data, logistik dan perkhidmatan di bawah strategi TRANSCEND 2027.
Secara keseluruhan, MBSB Research mengekalkan pandangan bahawa Sunway REIT kekal defensif dalam jangka panjang dengan sokongan segmen runcit, walaupun pertumbuhan jangka pendek dijangka sedikit terjejas oleh kelemahan dalam segmen hotel dan pejabat. - DagangNews.com








