KUALA LUMPUR 21 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa permohonan bagi Program Felo Sarjana Tamu (SIR) ke-15 dalam Kewangan Islam di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), United Kingdom untuk tahun akademik 2026/2027.
Program berprestij itu terbuka kepada pengamal kewangan Islam dan bidang berkaitan yang layak bagi menjalankan penyelidikan gunaan bebas mengenai isu strategik serta kontemporari berkaitan pasaran modal Islam (ICM).
SC berkata, bidang penyelidikan yang diberi keutamaan mestilah relevan dengan ICM termasuk Maqasid al-Syariah dan aplikasinya, kewangan sosial Islam dan fintech, ekonomi halal serta pelaburan mampan dan bertanggungjawab termasuk pelaburan impak.
Menurutnya, para cendekiawan tempatan dan antarabangsa, pengawal selia, pengamal industri yang mempunyai pendedahan dasar gunaan serta ahli akademik dengan kepakaran mendalam dalam bidang berkaitan digalakkan untuk memohon.
“Felo yang terpilih akan ditempatkan di OCIS selama satu tahun akademik bermula Oktober 2026 bagi menjalankan penyelidikan serta menyumbang kepada wacana intelektual berkaitan pasaran modal Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain menjalankan penyelidikan, felo berkenaan juga akan menyampaikan kuliah, bekerjasama dalam kajian serta terlibat dengan institusi berkaitan bagi memajukan pembangunan industri pasaran modal Islam global.
Program Felo SIR diperkenalkan pada tahun 2012 susulan resolusi daripada Meja Bulat SC-OCIS mengenai Kewangan Islam.
Sehingga kini, program tersebut telah memberi manfaat kepada 15 pakar dalam bidang pasaran modal Islam dan menyumbang pelbagai pandangan strategik kepada perkembangan landskap kewangan Islam global.
SC berkata, program itu turut selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam.
Katanya, pelan induk itu juga memberi tumpuan kepada usaha memacu inovasi produk serta memperluas penawaran produk patuh Syariah berpandukan Maqasid al-Syariah.
Permohonan bagi Program Felo SIR 2026/2027 dibuka sehingga 12 Jun 2026. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman rasmi Oxford Centre for Islamic Studies. - DagangNews.com








