Permohonan maaf daripada APMM hanya selepas laporan polis dibuat - Pengerusi Masjid Rusila | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan maaf daripada APMM hanya selepas laporan polis dibuat - Pengerusi Masjid Rusila

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Okt - Jawatankuasa Masjid Rusila menegaskan pihaknya hanya menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas laporan polis dibuat.

 

Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihak masjid tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman untuk apa-apa aktiviti daripada APMM seperti berlaku pada 19 September lalu itu.

 

"Pihak kami meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh APMM melalui Ketua Pengarah pada 22 Oktober 2025 berkaitan isu yang berlaku di Masjid Rusila pada 19 September 2025.

 

"Adalah dimaklumkan bahawa pihak masjid tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman untuk apa-apa aktiviti daripada Maritim Malaysia sama ada secara lisan atau pun bertulis. 

 

"Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh APMM dalam menangani isu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semalam Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah Mari dalam kenyataan menyatakan masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

 

Kata Mohd Rosli, pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.

 

Mengulas lanjut, Mohd Azri berkata, pihak masjid telah mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara itu, namun dimaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti dilaporkan di bawah pengetahuan atau permakluman pihak polis pada hari kejadian.

 

“Justeru pihak masjid mengambil keputusan untuk membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut. Setelah itu barulah kami menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada APMM," katanya.

 

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat mempersoalkan bentuk latihan yang dijalankan Maritim Malaysia di masjid berkenaan yang disifatkan seolah-olah mengulang kembali insiden Memali 1985.

 

Takiyuddin mendakwa, ketika kejadian, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki masjid tersebut tanpa kebenaran.

 

Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan, malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.

 

Mengulas perkara itu, Mohd Rosli berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.

 

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.

 

“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” tegasnya lagi.

 

Tambah beliau, latihan yang dimaksudkan ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin, dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

 

Mohd Rosli menjelaskan, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.

 

Malah ujar beliau, elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas.

 

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, isu laporan polis yang timbul, telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku. - DagangNews.com

 

rusila
Kenyataan media Jawatankuasa Masjid Rusila