KUALA LUMPUR 25 Ogos – Maxis Bhd membuka permohonan bagi Program Biasiswa Maxis 2025 yang direka untuk membantu pelajar Malaysia berpotensi melanjutkan pengajian tinggi, sekali gus melahirkan bakat baharu yang mampu menerajui cita-cita digital negara.
Ketua Pegawai Sumber Manusia & Transformasi Maxis, Patrick Er berkata, biasiawa itu mencerminkan komitmen Maxis untuk membina tenaga kerja masa depan terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, kita juga memperluaskan penyertaan kepada pelajar tahun kedua sarjana muda dan pascasiswazah berusia 18 hingga 23 tahun yang berdaftar di institusi pendidikan tinggi diiktiraf di Malaysia.
“Biasiswa ini menawarkan sokongan kewangan merangkumi yuran pengajian dan perbelanjaan sara hidup, di samping peluang latihan industri serta penempatan kerja di Maxis selepas graduasi, tertakluk kepada syarat akademik dan program,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selaras dengan penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap kesediaan AI, inisiatif itu diyakini akan menyediakan siawazah untuk cemerlang secara profesional dan menjadi penyumbang utama kepada transformasi digital negara.
Tambahnya, ia selaras dengan slogan’ Esok Bermula Hari Ini’ kerana Maxis memperkasakan bakat muda Malaysia untuk membentuk masa depan digital negara.
“Biasiswa itu mengutamakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang kritikal bagi transformasi digital negara termasuk kejuruteraan (rangkaian, telekomunikasi, perisian, mekanikal, elektrik dan elektronik)
“Selain itu, bidang teknologi (AI, pengkomputeran awan, sains komputer, keselamatan siber, sains data dan IT),” katanya.
Pelajar dalam bidang matematik, statistik, atau sains aktuari, perakaunan, kewangan atau ekonomi juga digalakkan membuat permohonan.
Sehingga kini, Maxis telah menyokong 349 pelajar melalui program biasiswa ini. Permohonan bagi tahun 2025 dibuka sehingga 12 September 2025.
Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, langkah permohonan dan butiran terkini boleh didapati di laman rasmi www.maxis.com.my. - DagangNews.com








