Permodalan Satok, Hubline tubuh JV pengangkutan metanol, sokong industri petrokimia Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permodalan Satok, Hubline tubuh JV pengangkutan metanol, sokong industri petrokimia Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac – Hubline Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Hub Carrier Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan Permodalan Satok Berhad bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) dalam perniagaan pengangkutan metanol dan produk kimia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hubline berkata perjanjian itu dimeterai pada 27 Mac 2026, dengan penubuhan syarikat dikenali sebagai PSB Hubline Sdn Bhd yang mempunyai modal saham awal RM1 juta.

 

Di bawah struktur pegangan, Hub Carrier memegang 60% kepentingan dalam syarikat JV tersebut, manakala Permodalan Satok memiliki baki 40%.

 

Syarikat JV itu akan menjalankan aktiviti utama pengangkutan metanol dan bahan kimia lain, selain berperanan sebagai cabang pengangkutan dalaman bagi Sarawak PetChem Sdn Bhd melalui kontrak jangka panjang dengan komitmen jumlah minimum.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, Hubline turut menandatangani Surat Hasrat tidak mengikat dengan Zhoushan Ningshing Shipbuilding & Repairing Co. Ltd dari China untuk pembinaan dua kapal tangki kimia keluli tahan karat berkapasiti 13,800 DWT, dilengkapi enjin bahan api dwi menggunakan metanol.

 

Menurut Lembaga Pengarah Hubline, usaha sama itu membolehkan kumpulan tersebut mengukuhkan penglibatan dalam industri petrokimia dan maritim Sarawak, khususnya dalam menyokong Kompleks Metanol Sarawak di Bintulu serta Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

 

“Ini merupakan langkah strategik ke arah pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang bagi kumpulan,” katanya.

 

Dari sudut kewangan, perjanjian usaha sama tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap modal saham, aset bersih, pendapatan atau tahap gearan Hubline bagi tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, syarikat JV berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan sebaik sahaja operasi dimulakan.

 

Dalam pada itu, Hubline mengesahkan tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama, termasuk pihak berkaitan, mempunyai kepentingan dalam perjanjian tersebut. - DagangNews.com