Permodalan Darul Ta'zim, UEM Lestra bangunkan projek solar hibrid 1GW di Segamat, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permodalan Darul Ta'zim, UEM Lestra bangunkan projek solar hibrid 1GW di Segamat, Johor

KUALA LUMPUR 29 Okt – Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dan UEM Lestra Bhd menandatangani perjanjian kerjasama bagi membangunkan projek solar fotovoltaik (PV) hibrid berkapasiti 1 gigawatt (GW) di Segamat, Johor.

 

Kerjasama strategik ini bertujuan mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negeri itu dan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai pemain utama negara dalam sektor tenaga bersih.

 

Pengerusi Johor Sustainability Centre, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usaha sama itu mencerminkan langkah proaktif Johor dalam menyokong pembangunan lestari melalui inisiatif tenaga hijau.

 

“Projek solar hibrid di Segamat bukan sahaja akan mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga mewujudkan peluang untuk rakyat Johor,” katanya pada majlis pelancaran program “Accelerating Malaysia’s Green Transition From Vision To Action — Southern Region Edition” di Iskandar Puteri hari ini.

 

Hasni, yang juga Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor berkata, perkongsian itu akan terus mengukuhkan sektor ekonomi hijau negeri dan meletakkan Johor sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui.

 

Beliau turut menekankan bahawa setiap inisiatif tenaga bersih mesti memberi manfaat nyata kepada kesejahteraan awam dan pemuliharaan alam sekitar.

 

Sebelum itu, Hasni mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PDT, Datuk Ramlee A Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad.

 

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Mohd Noorazam Osman.

 

t

 

Sementara itu, Harman Faiz berkata, projek solar hibrid ini menunjukkan komitmen UEM Lestra terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif yang mengutamakan kelestarian alam sekitar.

 

Projek solar hibrid ini akan menggabungkan sistem solar PV dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi membolehkan penyimpanan dan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

 

Di bawah perjanjian itu, PDT akan bertindak sebagai rakan utama untuk memudahkan penglibatan dengan pihak berkuasa negeri serta menarik penyertaan korporat dalam perolehan tenaga hijau.

 

Sementara itu, UEM Lestra, anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd, akan mengetuai pembangunan dan pelaksanaan projek melalui syarikat usaha sama mereka, Lestra HEXA.

 

Projek ini, yang dijangka siap dan mula beroperasi pada suku pertama 2028, dijangka menghasilkan lebih satu juta megawatt-jam (MWh) tenaga hijau setiap tahun dan mengurangkan sehingga 800,000 tan pelepasan karbon setahun.

 

Sebagai salah satu projek utama di bawah Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan kepada sasaran dekarbonisasi negara dan selaras dengan Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui Johor 2030, yang menjadikan tenaga solar sebagai sumber utama tenaga bersih.

 

Projek ini juga dijangka mewujudkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang fasa pembinaan dan operasi, sekaligus memperkukuhkan kemahiran tenaga hijau dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

 

Majlis tersebut juga diadakan sempena penutup jelajah nasional UEM Lestra yang mempromosikan platform bidaan tenaga hijau di bawah skim bekalan tenaga boleh diperbaharui korporat (CRESS), hasil kerjasama dengan Bursa Carbon Exchange, anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Bhd. - BERNAMA