KUALA LUMPUR 10 Okt - Turun naik harga jualan purata (ASP) yang dijangka berterusan, dipengaruhi oleh persaingan pasaran serta ketidakstabilan harga bahan mentah dijangka mempengaruhi pertumbuhan Top Glove, menurut MBSB Research.
Bagaimanapun, firma itu berkata, dengan kapasiti lebihan sekitar 25-30%, kadar penggunaan yang tinggi dijangka dapat meringankan tekanan harga dan seterusnya mengimbangi kesan penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat.
"Menjelang tahun kewangan 2026 (FY26), kami menjangkakan bahawa permintaan terhadap sarung tangan akan terus meningkat.
"Sehubungan itu, Top Glove dijangka mengambil peluang ini dengan meningkatkan jualan ke pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, selain membuka semula sebuah lagi kilang dengan kapasiti pengeluaran 2 bilion keping setahun bagi memenuhi tempahan yang semakin bertambah," katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB menambah, faktor-faktor seperti pertambahan populasi warga emas, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), dan permintaan tinggi dalam pelancongan perubatan, di samping penurunan stok sarung tangan global akibat tarikh luput pasca-Covid serta penutupan kilang di peringkat global, menyokong pandangan firma FY26 dan seterusnya mungkin menandakan tempoh pemulihan industri sarung tangan.
Namun begitu, MBSB kekal berhati-hati terhadap beberapa cabaran utama yang berpotensi memberi tekanan kepada prestasi syarikat, termasuk persaingan industri yang semakin sengit, kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos operasi.
MBSB berkata, memandangkan prestasi FY25 telah mengatasi jangkaan, serta selepas memasukkan data terkini ke dalam model penilaian, pihaknya telah meningkatkan unjuran keuntungan FY26 sebanyak +8%.
"Namun, kami menurunkan unjuran bagi FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak -3% dan -14%**, mengambil kira prospek pertumbuhan yang lebih sederhana selepas tempoh pemulihan awal.
"Selaras dengan itu, kami meningkatkan saranan saham Top Glove kepada "BELI" (sebelum ini Neutral) dengan harga sasaran baharu RM0.78 (sebelum ini RM0.70), berdasarkan EPS FY26 sebanyak 2.2 sen dan nilai buku sesaham sebanyak 63.6 sen, dengan penilaian P/BV disasarkan pada 1.2x, disokong oleh pengukuhan asas kewangan syarikat," katanya.
Laporan prestasi terkini menunjukkan keuntungan teras FY25 Top Glove melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY) kepada RM83.7 juta, berbanding kerugian RM206.3 juta pada FY24.
Untuk suku keempat FY25, Top Glove mencatatkan hasil sebanyak RM889.6 juta, meningkat 7% YoY, manakala pendapatan keseluruhan tahun meningkat 39% YoY kepada RM3.5 bilion.
Keuntungan suku keempat juga kembali positif sebanyak RM36.5 juta, berbanding kerugian RM23.9 juta pada tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com








