Permintaan di AS jatuh akibat tekanan tarif heret Poh Huat kembali rugi bagi 1QFY26, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan di AS jatuh akibat tekanan tarif heret Poh Huat kembali rugi bagi 1QFY26, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April — Kemerosotan permintaan dari Amerika Syarikat (AS) susulan tekanan tarif dan ketidaktentuan global kini memberi kesan ketara kepada saham syarikat sektor perabot tempatan.


TA Securities dalam nota analisisnya hari ini berkata, situasi negatif tersebut turut menjejaskan Poh Huat Resources Holdings Berhad apabila kembali mencatat kerugian pada awal tahun kewangan 2026.


Justeru firma penyelidikan itu menurunkan penarafan saham kumpulan itu kepada ‘jual’ daripada ‘pegang’, dengan harga sasaran (TP) turut dikurangkan kepada 80 sen berbanding 93 sen sebelum ini.


"Syarikat ini mengalami kerugian bersih RM1.7 juta bagi suku pertama FY26, berbanding keuntungan RM8.5 juta pada tempoh sama setahun lalu, manakala hasil susut 34.1% kepada RM89.8 juta," katanya.


Prestasi lemah ini ujar TA Securities, didorong oleh permintaan perabot yang lebih perlahan dari pasaran AS akibat tekanan tarif semasa, selain kesan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS sendiri.


Operasi Poh Huat di Malaysia mencatat impak ketara apabila segmen pejabat kekurangan tempahan, menyebabkan kerugian sebelum cukai RM6.9 juta berbanding keuntungan RM11.4 juta sebelum ini.

 

Poh Huat_DagangNews



Sementara itu tambah firma penyelidikan berkenaan, operasi kumpulan tersebut di Vietnam turut terjejas dengan keuntungan sebelum cukai yang merosot kira-kira 38.1% kepada sebanyak RM0.7 juta.


"Secara suku ke suku (QoQ), kumpulan ini mencatat kerugian walaupun hasil meningkat sedikit 3.2%, berikutan tekanan margin akibat produktiviti lebih rendah di operasi tempatan," kata TA Securities.


Bagaimanapun jelasnya, kedudukan kewangan Poh Huat adalah terus kekal kukuh tanpa ada hutang dan syarikat perniagaan perabot tersebut turut memiliki aliran tunai bersih berjumlah RM279.1 juta.


Firma tersebut namun menurunkan unjuran pendapatan bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 33.4%, 14.6% dan 10.1% bagi mencerminkan kadar penggunaan kapasiti yang direkodkan lebih rendah.


Prospek sektor perabot AS diramal tidak menentu susulan tekanan tarif dan gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik, manakala kelemahan dolar AS terus menjadi halangan prestasi kumpulan.


Sehubungan itu, TA Securitis melihat risiko penurunan berterusan dalam prestasi Poh Huat untuk tempoh terdekat, selari dengan cabaran luaran yang masih belum reda. - DagangNews.com