KUALA LUMPUR 22 Jan - Momentum pengembangan eksport Malaysia akan berterusan ke awal 2026F, disokong oleh keadaan perdagangan antarabangsa yang lebih baik serta pengembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), menurut CGS International Securities (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, eksport Malaysia berkembang lebih pantas sebanyak 10.4% tahun ke tahun (yoy) pada Disember 2025, manakala import sederhana kepada 12% yoy, sekali gus melonjakkan lebihan dagangan kepada RM19.3 bilion.
Menurut CGSI, prestasi itu mengatasi jangkaannya serta konsensus Bloomberg, dengan eksport barangan pembuatan meningkat ketara 13.6% yoy pada Disember 2025 berbanding 7.9% pada November, dipacu oleh penghantaran produk E&E, jentera dan peralatan, serta produk optikal dan saintifik.
CGSI berkata, pertumbuhan eksport E&E melonjak lagi kepada 25.3% yoy pada Disember 2025 (November 2025: +15%), disokong oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat, ASEAN dan China.
Hasilnya, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang lebih tinggi pada RM19.3 bilion.
Secara keseluruhan pada 2025, kata CGSI, eksport dan import masing-masing meningkat 6.5% yoy dan 6.2% yoy, dengan lebihan dagangan naik 9.2% kepada RM151.8 bilion.
Melangkah ke hadapan, CGSI berkata dalam nota penyelidikan hari ini, ia mengunjurkan eksport Malaysia meningkat 7.9% pada 2026F, disokong oleh keadaan perdagangan global yang bertambah baik dan potensi kesan tarif yang lebih sederhana terhadap aktiviti ekonomi.
Tambah firma itu, antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan eksport termasuk pertumbuhan berterusan eksport E&E sejajar dengan jualan semikonduktor global yang kukuh dipacu permintaan AI.
Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia telah menyemak naik unjuran jualan 2026 kepada hampir AS$1 trilion (+26% yoy), berbanding pertumbuhan 22.5% yoy yang dijangka pada 2025F.
Selain itu, kata CGSI, penstabilan sektor pembuatan yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P Global yang kekal di atas paras pengembangan 50, mencerminkan daya tahan sektor pembuatan Malaysia.
Pemulihan volum eksport juga diperhatikan pada Oktober–November 2025 berbanding 3Q25, menandakan normalisasi rantaian bekalan.
Dalam perkembangan berkaitan inflasi, CGSI berkata, inflasi tajuk Malaysia meningkat kepada 1.6% yoy pada Disember 2025 (November 2025: 1.4%), sejajar dengan jangkaannya namun lebih tinggi sedikit daripada konsensus Bloomberg.
Peningkatan ini didorong oleh kos perumahan dan utiliti serta perkhidmatan maklumat dan komunikasi.
Bagaimanapun, menurut CGSI, kenaikan itu diimbangi oleh pertumbuhan kos pengangkutan yang lebih perlahan pada 0.1% yoy pada Disember 2025, selari dengan harga minyak yang lebih rendah berbanding Disember 2024. Inflasi teras pula meningkat 2.3% yoy.
Bagi keseluruhan tahun, CGSI berkata, inflasi purata berada pada 1.4% yoy pada 2025, lebih rendah berbanding 1.8% pada 2024.
Melangkah ke 2026F, CGSI menambah, jangkaan harga minyak yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit dijangka terus mengekang tekanan inflasi.
Jika pengukuhan ringgit berterusan, kos import berpotensi menurun dan mengekang kadar inflasi pengguna.
Kata CGSI, kos pengangkutan mungkin berubah negatif, manakala kos utiliti dijangka sederhana lagi susulan jangkaan harga komoditi yang lebih rendah.
Namun, beberapa faktor dijangka menyokong inflasi termasuk peningkatan pendapatan boleh guna hasil bantuan tunai dan semakan gaji, perbelanjaan berkaitan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, serta kesan asas kos bekalan air sekiranya tiada semakan tarif baharu.
Sehubungan itu, CGSI mengekalkan unjuran inflasi pada 1.4% untuk 2026F (2025: 1.4%). - DagangNews.com








