KUALA LUMPUR 11 Dis - Perkhidmatan Kereta Api Elektrik Ketiga (ETS3) antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur secara rasmi dilancarkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Acara berlangsung di stesen Kempas Baru, Johor Bahru hari ini dengan operasi pertama bermula 12 Disember 2025, susulan penyempurnaan projek landasan berkembar elektrik (EDTP) Gemas-Johor Bahru.
ETS3 dijangka mampu mempercepatkan perjalanan sehala antara 3.5 jam hingga 4.5 jam bergantung kepada jenis perkhidmatan, berbanding lebih tujuh jam dengan tren biasa berkuasa diesel sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelancaran perkhidmatan terbaharu ETS3 tersebut sebagai satu lagi dorongan kepada pembangunan Johor dan negara secara keseluruhan.
"Hari ini, kita melengkapkan satu babak penting yang membina rangkaian pengangkutan awam dan sistem kesalinghubungan yang diperlukan untuk membangunkan negara dan Johor secara khususnya.
"Kita memerlukan lapangan terbang, pelabuhan, jaringan lebuh raya dan infrastruktur pengangkutan, namun kini kita hampir melengkapkan kemudahan itu," katanya dalam ucapan semasa majlis pelancaran.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan siapnya projek Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan rel negara.

"Majlis pada hari ini bukan sahaja sebagai simbolik kepada siap projek, tetapi mencerminkan komitmen pihak kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat.
"Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Johor sendiri, tetapi dapat menyumbang kepada hala tuju proses pembangunan negara kita secara keseluruhan," katanya pada sidang akhbar.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dengan siapnya projek EDTP sepanjang 192 kilometer, KTMB memperkenalkan dua trip ETS3 harian KL Sentral dan JB Sentral.
Syarikat rel itu juga merancang meningkatkan kepada empat perjalanan harian bermula Januari 2026 bagi memenuhi permintaan semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
KTMB turut menawarkan diskaun 30% bagi tiket KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral dengan kod promosi JBBEST, bermula 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, dengan 5,000 kod promosi tersedia.
Tiket berkenaan boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, selain laman web rasmi KTMB di [www.ktmb.com.my](http://www.ktmb.com.my) atau menerusi kiosk KTMB. - DagangNews.com








