Perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS jamin kepentingan, keselamatan ekonomi negara - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS jamin kepentingan, keselamatan ekonomi negara - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 29 Okt - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengandungi klausa yang menjamin kedaulatan negara, pelaksanaannya adalah berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara serta undang-undang dan peraturan domestik.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata menerusi perjanjian itu, AS bersetuju supaya sebarang langkah yang mahu diambil pihaknya dalam menangani isu ketidakseimbangan perdagangan harus melalui mekanisma rundingan bagi mencari kesefahaman bersama.

 

“Sebagai contoh, Artikel 5.1.1 tidak sepatutnya dilihat sebagai Malaysia secara membuta tuli mengikut apa jua sekatan AS yang dikenakan ke atas negara lain. 

 

"Sebaliknya, peruntukan tersebut, melalui frasa ‘mengikut undang-undang dan peraturan domestik’ dan ‘dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak’, memberi Malaysia ruang undang-undang dan diplomatik untuk mengelak daripada mengambil tindakan ke atas negara-negara lain,” katanya pada sesi penerangan khas di Dewan Rakyat hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata Malaysia hanya perlu berbincang dengan AS dan sekiranya Malaysia perlu mengambil tindakan perdagangan, langkah itu boleh dilakukan di bawah undang-undang dan peraturan domestik, dengan garis masa serta mekanisme tersendiri.

 

“Peruntukan tersebut juga menekankan bahawa sebarang tindakan yang diambil oleh Malaysia harus merupakan isu melibatkan ‘shared economic concern’, iaitu isu yang menjadi masalah bersama bagi Malaysia dan AS,” tambahnya.

 

Beliau berkata AS merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia dan pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan Malaysia-AS pada tahun 2024 mencecah RM325 bilion, manakala eksport Malaysia ke AS berjumlah RM198.65 bilion. 

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah eksport negara ke AS ialah RM166.38 bilion.

 

“Ini pasaran penting buat Malaysia. Mahu tidak mahu, kita perlu bangkit mempertahankan akses kepada pasaran ini walaupun berhadapan dengan tekanan tarif timbal balas bersifat unilateral oleh kerajaan Amerika Syarikat.

 

"Kita tiada pilihan tetapi untuk berunding, demi kepentingan negara dan ekonomi kita,” kata Tengku Zafrul.

 

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses rundingan dengan AS seawal Mei 2025, bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah supaya barangan eksport Malaysia terus kekal berdaya saing. 

 

Pendekatan itu juga dilihat memberi kelebihan kepada negara berbanding pilihan untuk tidak berbuat apa-apa atau mengambil tindakan balas terhadap AS, yang merupakan kuasa besar ekonomi dunia.

 

Pada 2 April 2025, Malaysia telah dikenakan kadar tarif 24 peratus, yang kemudiannya dinaikkan kepada 25 peratus pada Julai 2025, berikutan ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia dan AS.

 

Sebagai sebahagian daripada pakej hasil rundingan ini, hubungan dua hala Malaysia-AS telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, katanya.

 

“Hasil utama daripada rundingan yang mengambil masa enam bulan adalah kejayaan Malaysia menurunkan kadar tarif dikenakan AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, merupakan kadar terendah dikenakan kepada negara ASEAN yang juga mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat.

 

"Sekiranya Perjanjian ART ini tidak segera dimeterai, Malaysia berhadapan dengan risiko kerajaan AS menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal iaitu 24 peratus atau pada kadar yang jauh lebih tinggi,” kata Tengku Zafrul.- BERNAMA