Perdana Petroleum raih kontrak AHTS kepada kontraktor petroleum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Petroleum raih kontrak AHTS kepada kontraktor petroleum

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai– Perdana Nautika Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd berjaya memperoleh kontrak kerja baharu selama 120 hari bagi penyediaan kapal bekalan tunda dan pengendalian sauh (AHTS).

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan kontrak tersebut dianugerahkan oleh sebuah kontraktor pengatur petroleum (PAC), namun identiti pelanggan tidak didedahkan berikutan klausa kerahsiaan.

 

"Perdana akan menyediakan kapal bersama kru dan kelengkapan untuk melaksanakan perkhidmatan berterusan selama 24 jam bagi tujuan membantu dan menyelenggara pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tugas penundaan dan pengendalian sauh.

 

"Kontrak itu akan bermula berdasarkan tarikh sijil 'on-hire' kapal dan turut disertakan dengan pilihan lanjutan sehingga 100 hari.

 

"Nilai keseluruhan kontrak akan ditentukan berdasarkan pesanan kerja yang akan diberikan oleh pelanggan," kata Perdana.

 

Langkah itu selari dengan usaha kumpulan untuk meningkatkan kadar penggunaan aset dan memperkukuh kedudukan dalam pasaran perkhidmatan sokongan luar pesisir.

 

Perdana kini mengendalikan sebanyak 14 buah kapal sokongan luar pesisir, merangkumi lima kapal AHTS yang dijangka mencapai usia 20 tahun menjelang 2028, dua lagi menjelang 2029, serta satu AHTS dan satu kapal kerja (workboat) menjelang 2030.

 

Selain itu, kumpulan turut memiliki lima buah kapal penginapan lebih moden yang dibina antara tahun 2013 dan 2014.

 

Pengurusan aset secara strategik dijangka membantu kumpulan menyesuaikan operasi terhadap permintaan semasa sektor minyak dan gas, di samping memaksimumkan penggunaan armada untuk jangka masa panjang. - DagangNews.com