KUALA LUMPUR 23 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut pada Jumaat ini (27 Feb) berhubung isu tarif Amerika Syarikat.
“Selepas itu barulah kita akan beri maklum balas. Tunggu Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Iftar bersama Perdana Menteri serta pelancaran program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di sini, Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu (20 Feb) yang membatalkan sebahagian besar langkah tarif yang sebelum ini diperkenalkan oleh Donald Trump, dengan memutuskan bahawa Presiden AS itu tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang persekutuan untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.

Trump kemudian dilaporkan berkata beliau akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10% ke atas negara-negara di seluruh dunia menggunakan kuasa baharu selepas Mahkamah Agung membatalkan kempen cukai import globalnya.
Pada Sabtu (21 Feb), Trump berkata beliau akan menaikkan tarif global itu kepada 15% daripada 10%.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata setakat ini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti perkara berkenaan.
Beliau berkata MITI kini menyelaras isu tersebut dengan pihak berkepentingan, termasuk rakan sejawatan di Washington serta rakan kongsi di Asia Tenggara, bagi menentukan tindakan susulan. - BERNAMA








