KUALA LUMPUR 9 Jan - Sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM158.9 bilion pada November 2025, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 6.4 peratus.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan sektor perdagangan borong dan runcit disokong oleh prestasi positif merentasi semua subsektor.
Dari segi indeks volum, beliau berkata perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan y-o-y sebanyak 5.2 peratus.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 6.8 peratus, diikuti perdagangan borong (+6.0 peratus) dan perdagangan runcit (+4.3 peratus). Walau bagaimanapun, berdasarkan pelarasan bermusim, indeks volum menurun 2.0 peratus bulan ke bulan,” katanya.
Mohd Uzir berkata subsektor perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM70.1 bilion, mencerminkan pertumbuhan y-o-y sebanyak 6.0 peratus.
“Sementara itu, subsektor perdagangan runcit mencatatkan jualan sebanyak RM69.0 bilion, meningkat 6.4 peratus y-o-y.
“Subsektor kenderaan bermotor turut menunjukkan prestasi kukuh dengan merekodkan jualan sebanyak RM19.8 bilion, meningkat 8.0 peratus y-o-y,” katanya.
Beliau berkata pertumbuhan tersebut juga sebahagiannya disumbang oleh penggunaan berterusan bantuan one-off RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sementara itu, Mohd Uzir berkata jualan runcit dalam talian terus menunjukkan trend meningkat pada November, apabila indeks jualan meningkat 7.3 peratus y-o-y.
“Trend ini terus mencerminkan permintaan pengguna yang berterusan dalam segmen e-dagang,” katanya.
Beliau berkata aktiviti pembayaran digital terus mencatat momentum positif pada November, dengan transaksi e-wang merekodkan peningkatan y-o-y sebanyak 66.9 peratus kepada RM27.0 bilion, mencerminkan keutamaan yang semakin meningkat terhadap kaedah pembayaran tanpa tunai.
“Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) juga mengekalkan prestasi kukuh dengan jumlah transaksi mencecah RM322.6 bilion.
“Selain itu, transaksi Financial Process Exchange (FPX) meningkat 20.4 peratus kepada RM41.5 bilion, manakala transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus dan 6.8 peratus,” tambahnya. – Bernama








