Perbelanjaan kukuh RMK13, RHB Investment kekalkan penarafan "Overweight" sektor pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan kukuh RMK13, RHB Investment kekalkan penarafan "Overweight" sektor pembinaan

Pembinaan lebuh raya baru antara projek-projek utama yang bakal dilaksanakan di bawah RMK13.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Ogos 2025 – RHB Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan "Overweight" terhadap sektor pembinaan, disokong oleh jangkaan aliran projek yang lebih kukuh di bawah pelan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan di Parlimen semalam.

 

Dalam nota penyelidikannya, RHB Investment memaklumkan bahawa Perbelanjaan Pembangunan (DE) di bawah RMK13 memperuntukkan sebanyak RM430 bilion dalam DE kasar bagi tempoh 2026 hingga 2030, meningkat daripada RM415 bilion di bawah RMK12 bagi tahun 2021 hingga 2025, dengan purata perbelanjaan tahunan sebanyak RM86 bilion.

 

“Peruntukan yang meningkat ini menunjukkan sokongan berterusan terhadap pembangunan infrastruktur dalam bidang seperti info-struktur, pengangkutan awam, mitigasi banjir serta perumahan mampu milik,” jelas RHB.

 

Antara projek utama yang diketengahkan dalam RMK13 ialah Jalan Penghubung Sarawak-Sabah, Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road, dan Lebuhraya Trans Borneo. Projek besar lain termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan kerja-kerja pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor.

 

Projek Kerjasama Awam-Swasta kekal komponen Utama

 

RHB Investment turut menegaskan bahawa projek kerjasama awam-swasta (PPP) kekal sebagai komponen utama dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan akan datang, selaras dengan Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030).

 

“Menerusi PIKAS 2030, kerajaan menyasarkan pembiayaan sektor swasta sebanyak RM61 bilion di bawah pelaksanaan RMK13. Pelan ini mengenal pasti beberapa inisiatif di bawah Teras Strategik 3: Memperluas model PPP untuk mempelbagaikan projek’ dalam kerangka pelan nasional,” katanya.

 

PPP baharu yang berpotensi dilaksanakan termasuk Lebuhraya Rentas Ipoh Barat, Lebuhraya Putrajaya-Bangi, dan Fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur.

 

Rancangan baharu itu turut memberi penekanan kepada projek mitigasi banjir sebagai keutamaan pembangunan. 

 

RHB Investment melaporkan peningkatan ketara dalam bilangan projek mitigasi banjir, iaitu sebanyak 55 projek disasarkan untuk disiapkan menjelang 2030, berbanding hanya 17 projek pada tahun sebelumnya.

 

“Usaha mitigasi banjir diteruskan menerusi 43 projek utama bernilai RM12 bilion yang telah dimulakan sejak tahun lalu. Projek ini dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi termasuk Johor, Muar, Pahang, Kedah, Sabah dan Perak,” ujarnya. - DagangNews.com