KUALA LUMPUR 9 Sept – Tham Kin-On, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat pertanian Greenyield Bhd yang sedang mencatat kerugian, kini berdepan usaha penyingkiran oleh sekumpulan tujuh pemegang saham – tiga daripadanya merupakan bapa saudaranya sendiri.
Ketujuh-tujuh pemegang saham yang mendakwa memiliki pegangan kolektif 51.1% dalam Greenyield itu, memanggil satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyingkirkan Kin-On daripada semua jawatannya dalam syarikat dan anak-anak syarikatnya.
Menurut makluman Greenyield kepada Bursa Malaysia, syarikat menerima notis permintaan mereka untuk mengadakan EGM tersebut.

Kumpulan pemegang saham itu turut mencadangkan pelantikan segera Tham Kin Wai, Tham Kinyiq dan Chong Sin Hao sebagai pengarah syarikat. Kin Wai merupakan sepupu kepada Kin-On, manakala hubungan Kinyiq dengan Kin-On belum dapat dipastikan setakat ini.
Permintaan itu dibuat selepas Greenyield menerima sepucuk surat pada Khamis lalu daripada Foong Sai Cheong, seorang daripada tujuh ahli kumpulan yang mahu Kin-On disingkirkan, yang menyatakan langkah tersebut diambil “bagi melindungi kepentingan pemegang saham dan memperkukuh tadbir urus syarikat, memandangkan prestasi strategik dan operasi yang tidak memuaskan, serta keyakinan pemegang saham yang semakin merosot di bawah kepimpinan semasa.”
Dalam surat tersebut, Foong, yang memegang 4.4% pegangan dalam syarikat, turut melampirkan salinan memorandum persefahaman (MoU) yang menunjukkan ketujuh-tujuh pemegang saham itu telah bersetuju bekerjasama menyingkirkan Kin-On.
Enam lagi penandatangan MoU itu ialah: pakcik Kin-On – Tham Chong Sing (pemegang saham langsung 13.1%), Tham Foo Choon (13%), dan Tham Fau Sin (10.9%); Chew Kee Foo (5.6%), DKIC Capital Sdn Bhd (3.5%), dan Voon Sze Lin (0.6%). Foo Choon juga merupakan timbalan pengerusi bukan eksekutif Greenyield.
Kin-On, yang menyertai lembaga pada 20 Dis 2016, dilantik sebagai CEO pada 12 Feb 2025. Beliau ialah anak kepada pengerusi bukan eksekutif Tham Foo Keong, yang memegang 17.69% saham langsung dalam syarikat.
Foo Keong turut memiliki 7.077% pegangan tidak langsung melalui isterinya Twong Yoke Peng dan Kin-On. Foo Keong, Chong Sing, Fau Sin dan Foo Choon ialah adik-beradik.
Greenyield, yang diasaskan oleh keluarga Tham pada 1937, membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan sistem, produk serta perkhidmatan pertanian berasaskan agro-teknologi.
Greenyield berkata ia tidak akan bertindak balas terhadap surat mahupun MoU tersebut, sebaliknya “akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghalang sebarang tindakan lanjut.”
Berhubung notis permintaan EGM itu, syarikat berkenaan memaklumkan ia akan mendapatkan nasihat guaman bagi menentukan langkah seterusnya. - DagangNews.com








