Peralihan EG Industries ke sektor EMS diyakini buka peluang dalam ledakan AI, pusat data – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peralihan EG Industries ke sektor EMS diyakini buka peluang dalam ledakan AI, pusat data – Phillip Capital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac – Phillip Capital Research memulakan liputan ke atas EG Industries Bhd dengan cadangan Beli dan sasaran harga RM1.70, menunjukkan potensi kenaikan kira-kira 54% daripada harga semasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, EG Industries mendapat perhatian pelabur selepas berkembang daripada pengeluar elektronik pengguna kepada penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) industri yang pelbagai sejajar dengan permintaan global terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Firma itu berkata EG Industries dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan global dalam AI, pengkomputeran awan dan infrastruktur pusat data.

 

“Langkah syarikat beralih ke pembuatan teknologi bernilai tinggi dilihat mampu memperkukuhkan kedudukan dalam pasaran yang berkembang pesat.

 

“EG Industries kini mempunyai pendedahan kepada segmen pertumbuhan tinggi termasuk telekomunikasi 5G, elektronik automotif serta peralatan pusat data yang dipacu AI,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Phillip Capital berkata ketegangan perdagangan antarabangsa memberi peluang kepada EG Industries kerana syarikat multinasional kini mencari kilang baharu di negara lain.

 

t

 

“EG Industries berada dalam kedudukan baik untuk membekalkan produk teknologi seperti 5G, AI, pusat data dan elektronik automotif, disokong pelaburan asing yang berterusan.

 

“Permintaan untuk modul optik berkelajuan tinggi dan komponen suis rangkaian, yang menjadi teras penghantaran data pantas dalam pusat data AI dan awan, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan seterusnya bagi syarikat,” kata Philip Capital.

 

Segmen fotonik EG Industries khususnya dijangka menyumbang lebih kukuh, dengan perkongsian hasil diramalkan meningkat daripada kira-kira 4% pada FY2025 kepada 17% menjelang FY2028.

 

Bagi menyokong pertumbuhan pesanan, EG Industries telah menyiapkan kilang pembuatan baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang, manakala rancangan pengembangan di Sungai Petani dan Thailand sedang dijalankan. 

 

Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan berkaitan kenderaan elektrik, sistem penyimpanan tenaga dan komponen pusat data.

 

Phillip Capital menjangkakan pendapatan EG Industries mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 26% antara FY2025 hingga FY2028, hasil daripada peningkatan kapasiti, produk bernilai tinggi dan pelanggan baharu.

 

“Perbelanjaan modal berterusan oleh syarikat global untuk infrastruktur AI dijangka mengekalkan permintaan jangka panjang bagi perkakasan sambungan, sekali gus meletakkan pemain EMS seperti EG Industries dalam kedudukan menguntungkan dalam rantaian bekalan teknologi,” katanya.

 

Walaupun prospek positif, firma tersebut berkata wujud beberapa risiko termasuk kebergantungan hanya kepada pelanggan tertentu, turun naik mata wang asing dan cabaran pelaksanaan yang mungkin timbul ketika meningkatkan skala pengeluaran. - DagangNews.com